‘Sungkai Ride’ himpunkan lebih 130 penunggang motosikal

‘Sungkai Ride’ himpunkan lebih 130 penunggang motosikal

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Khairil Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Lebih 130 penunggang motosikal daripada 17 kelab motosikal tempatan menyertai ‘Sungkai Ride’ yang bermula dari Medan Selera Taman Permainan Jerudong menuju ke Restoran Stadium di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Antara laluan yang dilalui oleh konvoi penunggang dalam acara anjuran kelab motosikal New No Limit Riders (NNLR) itu ialah Lebuh Raya Muara-Tutong, Lebuh Raya Tungku Link, Lebuh Raya Hassanal Bolkiah dan Jalan Lapangan Terbang Lama menuju ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Menurut Setiausaha NNLR, Awangku Nazih bin Pengiran Yusof, Sungkai Ride adalah yang pertama diadakan sejak pendaftaran semula kelab itu pada 12 Jun 2014.

“Tujuan kami menganjurkan ‘Sungkai Ride’ ini adalah bagi menghimpunkan semua penunggang sama ada yang berdaftar dengan persatuan motosikal atau mereka yang belum berdaftar untuk sama-sama menunggang dalam keadaan santai dan selamat dan berbuka puasa bersama-sama sempena bulan Ramadan ini,” ujar beliau yang ditemui di Taman Permainan Jerudong sejurus sebelum berlepas ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Para peserta Sungkai Ride bergambar ramai di Taman Permainan Jerudong sebelum memulakan perjalanan ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Para peserta Sungkai Ride bergambar ramai di Taman Permainan Jerudong sebelum memulakan perjalanan ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Awangku Nazih seterusnya menjelaskan, acara itu yang jelas mendapat sambutan daripada semua penunggang motosikal tempatan akan dijadikan acara tahunan bagi kelab motosikal NNLR pada tahun akan datang, di samping beberapa acara lain yang sedang dirancang bagi kalendar aktiviti kelab berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA