Sunnybee sambut ulang tahun pertama

Sunnybee sambut ulang tahun pertama

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 16 Ogos – Kedai Roti dan Kafe Sunnybee hari ini meraikan ulang tahun pembukaan pertamanya, bertempat di Pekan Kuala Belait dan dalam masa yang sama meraikan sambutan Aidilfitri bersama kakitangan kedai serta jemputan-jemputan khas.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan ulang tahun pertama kedai tersebut ialah Pegawai Kebudayaan dan Attache di Kedutaan Filipina iaitu Eleanor Belhica sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan Sunnybee iaitu Clement Yeo.

Clement dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran tetamu-tetamu yang diundang, menyatakan betapa gembiranya beliau dan kakitangan Sunnybee dalam melangsungkan acara penuh bermakna ini.

“Kakitangan-kakitangan saya telah bekerja keras dalam menjayakan bukan sahaja acara ini malah berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan makanan ringan yang lazat untuk dinikmati oleh pelanggan-pelanggan kami di sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau menambah mereka juga telah memastikan agar makanan yang dijual di kedai mereka sentiasa bersih dan selamat dengan harga yang berpatutan.

Clement Yeo (merah) dan Eleanor Belhica (ungu) semasa upacara pemotongan kek menandakan ulang tahun pertama kedai tersebut.
Clement Yeo (merah) dan Eleanor Belhica (ungu) semasa upacara pemotongan kek menandakan ulang tahun pertama kedai tersebut.

Clement percaya bahawa mereka juga telah berjaya membina reputasi yang baik kerana mereka tahu apa yang pelanggan mahu iaitu tahap kebersihan dalam pengendalian pemakanan dan juga menyediakan makanan-makanan yang segar.

Dalam acara itu, Clement menjemput Eleanor untuk memotong kek yang telah disediakan dan juga menjemput Pasukan Sunnybee yang telah menjuarai Bola Keranjang Piala Sultan 2013 sebagai tetamu undangan untuk bertemu peminat-peminat setempat.

Clement juga menjemput tetamu kehormat untuk melawat kawasan ruang kedai dan pelanggan-pelanggan yang hadir juga dijemput menjamu selera makanan yang telah disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA