Suntik keakraban dan semangat kerja

Suntik keakraban dan semangat kerja

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Kira-kira 15 orang dari sektor perbankan, telekomunikasi dan industri pembuatan aluminium swasta menghadiri bengkel eksklusif CONFEX yang bertajuk ‘Menguruskan Jurang Usia di Tempat Kerja’ bermula hari ini sehingga 27 Oktober di Restoran RMS Portview Seafood di ibu negara.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh salah seorang ikon Malaysia Book of Records, Micheal Teoh Su Lim bersama rakannya selaku Ketua Jurulatih Program Perkembangan dan Bakat Kanak-kanak, Belia dan Wanita, Mallory Loone.

Objektif bengkel ini adalah untuk mempromosikan keberkesanan perhubungan antara pengurus dan orang bawahan pada semua peringkat di samping menyediakan strategi dan penyelesaian dalam merapatkan jurang usia di dalam sesebuah syarikat.

Ia juga platform untuk mempelajari cara terbaik dan mengaut pengalaman berdasarkan penelitian kes serta membangun dan memperkembangkan Gen-Y supaya lebih efektif dan produktif di dalam syarikat serta menyuntik keakraban dan semangat kerja di dalam mempertingkat dan memajukan sesebuah syarikat.

Para peserta bengkel ketika mendengar penjelasan daripada Micheal Teoh Su Lim dan Mallory Loone.
Para peserta bengkel ketika mendengar penjelasan daripada Micheal Teoh Su Lim dan Mallory Loone.

Dalam bengkel ini, Micheal dan Mallory berkongsi cara bagaimana untuk mengesan faktor yang menyebabkan turunnya motivasi di kalangan Gen-Y dan menjana sikap setia kepada pengurus dan syarikat.

Mereka turut mendedahkan peserta kepada strategi utama dalam membangunkan program peningkatan di kalangan Gen-Y terutama di dalam mengetengahkan bakat masing-masing supaya lebih produktif.

Dalam masa yang sama, kedua-dua fasilitator ini turut memberikan input mengenai cara positif untuk memperbaiki keuntungan syarikat, meningkatkan moral dan pertumbuhan idea di kalangan orang bawahan.

ARTIKEL YANG SAMA