Suntik kesedaran jaga kebersihan

Suntik kesedaran jaga kebersihan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Feb – Usaha murni seorang suri rumah tangga bersama rakannya, seorang guru dalam mengajak orang ramai bergotong-royong membersihkan pantai di kawasan ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 30 orang awam menyertai Kempen Pembersihan Pantai Belait, kelmarin.

Kempen yang membawa slogan ‘Berfikir Secara Global, Lakukan Pembersihan Setempat’ itu adalah inisiatif kedua-duanya iaitu Padma Chebrolu, dari India dan Marion de Brabander warga Netherland selaku penganjur kempen yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun.

Padma Chebrolu ketika ditemu bual Media Permata mengatakan, beliau dan rakannya yang merupakan pengunjung tetap Taman Permainan Jubli Perak dan Pantai Belait, berharap kempen seperti ini akan turut dilakukan oleh semua orang dalam kalangan masyarakat dan penduduk di daerah ini, terutama sekali para belia, bagi meningkatkan kecantikan dan kesihatan alam persekitaran terutama kawasan pantai dan taman riadah.

Kata beliau lagi, hampir setiap hari dia membawa anaknya bersiar-siar di taman permainan itu dan kadangkala singgah untuk bersiar-siar di tepi pantai, yang mana baginya tidak mustahil tepian pantai sering ada sampah terutama yang dibawa oleh ombak lautan dan sebagainya, seperti bekas-bekas bungkusan makanan, plastik yang tersangkut di batang-batang kayu yang terdampar, dan semua itu akan menjejaskan keselesaan pengunjung yang melakukan aktiviti berjoging dan beriadah di tepi pantai.

“Memikirkan tentang perlunya tepian pantai sentiasa nampak bersih, saya dan rakan rapat saya Marion berbincang untuk memulakan langkah mengendalikan kempen pembersihan tepi pantai, dan kami menghubungi pihak kumpulan pengendali Kempen Membersihkan Pantai Kelab Panaga, dan mereka telah membantu kami untuk berhubung dengan pihak Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria untuk mendapatkan kebenaran ke atas hasrat kami itu,” ujarnya.

Padma Chebrolu (kanan) dan Marion de Brabander melakukan inisiatif untuk mengajak orang ramai melakukan kempen bersihkan pantai Belait.
Padma Chebrolu (kanan) dan Marion de Brabander melakukan inisiatif untuk mengajak orang ramai melakukan kempen bersihkan pantai Belait.

Sementara itu, Marion yang bertugas sebagai guru Pengajar Program Pelajar Muda di Pusat Pembelajaran CFBT Pandan 4, pula memberitahu, jika kawasan pantai sering dibersihkan, keindahan pantai akan lebih menyeronokkan dan kegiatan yang sering dilakukan di pesisir pantai seperti berjoging, berjalan kaki dan bersiar-siar akan rasa lebih selesa, sihat dan menyenangkan.

Kedua-dua wanita berkenaan sudah berada di negara ini kira-kira setahun kerana mengikut suami masing-masing yang bertugas di sini, telah mengusahakan kempen ini dengan mempromosikannya melalui pengagihan risalah ke sekolah anak-anak mereka, pusat beli-belah dan disiarkan dalam media sosial, turut merakamkan penghargaan atas kerjasama pihak Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria yang telah membenarkan kempen itu selain menyediakan tong pembuangan sampah untuk mereka mengumpulkan semua sampah sarap yang telah dikutip.

Dengan sambutan yang diterima, kini mereka merancang untuk mengendalikan kempen tersebut kira-kira dua bulan sekali, selagi mereka berada di negara ini, dan mahu mengajak lebih ramai orang awam untuk menyertai mereka, dan berhasrat inisiatif seperti itu akan dapat menyuntik semangat dan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar dalam kehidupan seharian terutama sekali kawasan taman permainan, taman riadah dan tepian pantai yang sering menjadi kunjungan orang ramai pada waktu-waktu petang, waktu cuti dan sebagainya.

Kempen tersebut telah dimulakan pada jam 9 pagi kira-kira lebih satu jam, dan kerja-kerja mengutip pelbagai jenis sampah sarap telah dilakukan secara berkumpulan sejauh kira-kira 700 hingga 800 meter sepanjang pantai di sini, selain para peserta juga telah membawa keperluan mengutip sampah masing-masing termasuk plastik hitam, dan sebahagiannya turut disumbangkan oleh Puan Padma dan suami.

Semua sampah sarap yang telah terkumpul dimuatkan ke dalam tong sampah besar yang telah disediakan oleh Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria bagi kempen tersebut, selain turut melibatkan diri ialah sebahagian ahli-ahli Pembersihan Pantai Kelab Panaga yang juga membantu mengangkut sampah-sampah yang sudah disimpan ke dalam plastik hitam menggunakan kenderaan mereka.

Beberapa peserta tempatan yang sempat ditemui menyatakan rasa gembira mereka kerana terlibat sama dalam kempen itu, dan turut merakamkan penghargaan kepada pengendalinya, yang mempunyai rasa bertanggungjawab untuk sama-sama membersihkan alam sekitar, dan berharap ia menjadi contoh kepada orang ramai terutama warga daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA