Suntik motivasi murid menjelang PSR

Suntik motivasi murid menjelang PSR

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Okt – Sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2015, Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin di sini, hari ini mengadakan Majlis Ceramah Motivasi dan Solat Sunat Hajat untuk menyuntik semangat dan memberikan keyakinan diri kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan itu pada 20 Oktober ini.

Majlis yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, turut melibatkan penyertaan ibu bapa dan penjaga murid serta guru-guru.

Ia dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti Solat Dhuha dan Solat Hajat diimamkan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali yang kemudiannya menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Saya Hebat’.

Setiausaha 1 sekolah, Awang Akhbar bin Mohammed dalam temu bual bersama Media Permata memberitahu, majlis ceramah merupakan aktiviti tahunan sekolah diharap dapat memberikan potensi yang lebih tinggi kepada murid-murid untuk mempunyai keyakinan, keberanian dan hilang rasa gementar atau takut ketika menghadapi kertas-kertas peperiksaan mereka.

Ceramah ‘Saya Hebat’ daripada Penolong Kaunselor Penjara Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara.
Ceramah ‘Saya Hebat’ daripada Penolong Kaunselor Penjara Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara.
Majlis Ceramah Motivasi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan solat Dhuha dan Hajat.
Majlis Ceramah Motivasi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan solat Dhuha dan Hajat.

“Harapan kami sebagai guru-guru adalah supaya murid-murid menyedari diri mereka merupakan generasi aset negara yang akan bakal melangkahkan kaki ke sekolah menengah dan seterusnya ke institusi tinggi pada masa hadapan, dan mereka perlu mempunyai semangat yakin diri pada masa ini, dan menjadi pelajar yang yakin dan terus meningkatkan usaha lebih gigih demi kemajuan dalam pembelajaran mereka,” katanya.

Pembabitan para ibu bapa dan penjaga dalam program tersebut adalah untuk sama-sama memberikan dorongan semangat kepada anak-anak kerana mereka adalah orang yang paling lama berada bersama anak-anak di rumah berbanding masa bersama guru di sekolah.

Ibu bapa juga guru awal ke atas anak-anak mereka dan dorongan serta sokongan moral daripada keduanya adalah juga sebagai antara kunci ke arah kejayaan dan kemajuan murid-murid.

Majlis hari ini juga menyaksikan acara penyampaian Hadiah Insentif A hingga C kepada murid-murid Tahun 6 seterusnya perasmian ‘Wall Of Hope: PSR 2015’ sebelum acara berakhir.

ARTIKEL YANG SAMA