Suntik motivasi pelajar raih kejayaan

Suntik motivasi pelajar raih kejayaan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 7 April – Maktab Anthony Abell (AAC), hari ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Cemerlang sebagai suntikan motivasi agar para pelajar mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

Penyampaian anugerah bagi pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat 5 ‘O’ Level ke atas tahun lalu, telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di dewan serba guna maktab berkenaan, di sini.

Anugerah dibahagikan kepada lima kategori meliputi pencapaian guru cemerlang, pelajar cemerlang, peningkatan istimewa terbaik, peningkatan terbaik dan pencapaian cemerlang.

Pengetua AAC, Dayang Mas Diana binti Abdul Samat menerangkan bahawa pencapaian kali ini amat baik, daripada tiga pelajar yang mendapat 8 ‘O‘ Level naik kepada tujuh orang dan daripada lima pelajar yang mendapat 7 ‘O’ Level kali ini naik kepada lapan orang, berdasarkan perbandingan daripada keputusan O Level tahun sebelumnya.

Haji Jamail menyerahkan tanda penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang sambil dilihat oleh pengetua AAC.
Haji Jamail menyerahkan tanda penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang sambil dilihat oleh pengetua AAC.
Gambar ramai bersama para penerima hadiah pelajar cemerlang. - Gambar Haji Jamail
Gambar ramai bersama para penerima hadiah pelajar cemerlang. – Gambar Haji Jamail

Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Mas Diana menyampaikan rasa penghargaan kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus dalam mengajar anak-anak murid mereka.

“Guru bukan sahaja menangani pembelajaran dalam kelas, malahan mengasuh rohani, jasmani dan akhlak pelajar semasa pelajar berada dan bersekolah di maktab ini,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pihak maktab bersama guru-guru, kakitangan sekolah dan ahli persatuan ibu bapa dan guru-guru akan sentiasa meningkatkan usaha dengan lebih gigih lagi bagi mendukung hasrat sekolah dan keluarga untuk anak-anak Maktab AAC.

ARTIKEL YANG SAMA