Suntik nilai keBruneian

Suntik nilai keBruneian

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Mac – Sebagai usaha menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan pelajar-pelajar sebagai salah satu nilai-nilai keBruneian yang perlu dikekalkan, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong telah menganjurkan program pengayaan pelajar-pelajar dinamakan ‘Extended Hours’ yang membawa tema ‘Patriotisme’.

Lebih kurang 230 orang pelajar dan warga PTE lain menghadiri program berkenaan yang berlangsung di PTE Tutong.

Perisian utama program ini adalah ceramah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah undangan iaitu Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MIB), Dr. Haji Muhammad Hadi bin Haji Muhammad Melayong dan Prof. Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, yang menyentuh mengenai konsep dan asas-asas patriotisme dalam kalangan masyarakat Brunei.

Dr. Haji Muhammad Hadi dan Prof. Madya Dr. Haji Hashim selaku penceramah undangan.
Dr. Haji Muhammad Hadi dan Prof. Madya Dr. Haji Hashim selaku penceramah undangan.
Antara pelajar-pelajar PTE yang hadir pada Program ‘Extended Hours’.
Antara pelajar-pelajar PTE yang hadir pada Program ‘Extended Hours’.

Program yang julung-julung kalinya diadakan ini dianjurkan oleh Jabatan Melayu Islam Beraja, PTE Tutong dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengetengahkan patriotisme menerusi pendidikan termasuklah kepentingannya kepada para pelajar sebagai generasi muda yang berwawasan.

Program seumpama ini diharap akan dapat dijadikan sebagai satu wadah untuk melestarikan falsafah MIB kerana patriotisme merupakan salah satu nilai-nilai Melayu yang dimiliki oleh masyarakat Brunei yang terkandung dalam falsafah negara.