Suntik semangat kepada masyarakat

Suntik semangat kepada masyarakat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan mengadakan Program Masyarakat Bermaklumat bagi Mukim Sengkurong ‘A’ yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Bilik Mesyuarat, Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.

Seramai 35 orang dari Kampung Sengkurong ‘A’ menyertai program berkenaan yang antara lain berobjektif untuk menyuntik semangat dan inspirasi kepada masyarakat dalam mempertingkatkan taraf hidup mereka.

Pengerusi majlis, Hajah Rabi’atul’adawiyah binti Haji A. Ahmad dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, program ini merupakan salah satu landasan  Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan lawatan.

“Program ini akan diadakan secara berterusan di keempat-empat daerah selaras dengan usaha jabatan ke arah membudayakan masyarakat bermaklumat. Manakala pengisian program ini seperti tajuk taklimat dan tempat lawatan adalah berdasarkan kepada pemilihan dan persetujuan dari mukim dan kampung tertakluk juga kesesuaiannya,” ujarnya.

Awang Mawardi (empat kiri) yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Awang Mawardi (empat kiri) yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Ke arah itu, tambahnya lagi, tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha kerajaan ke arah mempertingkatkan taraf hidup dan menyuntik semangat diri serta memberikan inspirasi kepada masyarakat melalui aktiviti keusahawanan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan jati diri dan memberi keyakinan yang tinggi ke arah menangani cabaran-cabaran, gejala dan pengaruh kehidupan yang boleh mengganggu keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan kehidupan di negara ini melalui ajaran-ajaran Islam sebagai amalan cara hidup yang lengkap di negara ini.

Katanya lagi, selain daripada mendengarkan taklimat, para peserta juga berpeluang mengikuti lawatan ke dua tempat yang berkaitan dengan keusahawanan, iaitu ke Perusahaan Ternakan Ayam Riza Group dan LiveWire Brunei.

“Semoga daripada lawatan tersebut juga akan dapat meningkatkan semangat dan menggalakkan penglibatan para peserta untuk menceburkan diri serta menjana usaha dalam bidang keusahawanan, di samping membolehkan untuk sama-sama bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan serta percambahan idea ke arah memajukan kampung masing-masing, serta dapat memperbaiki ekosistem perniagaan semasa di negara ini.”

ARTIKEL YANG SAMA