Suntik semangat pelajar tempuhi cabaran

Suntik semangat pelajar tempuhi cabaran

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 17 Jan – Seramai 40 orang pelajar Pusat Latihan Mekanik (PLM) telah menghadiri ceramah motivasi sebagai sebahagian daripada aktiviti hujung minggu yang dianjurkan oleh Syarikat Borneo Oceanic Management Services (BOMS), hari ini.

Para pelajar berkenaan terdiri daripada mereka yang sedang menjalani skim latihan dalam bidang ‘Sandblasting’ dan ‘painting’ di bawah pengawasan syarikat tersebut selama empat bulan, yang kini sudah memasuki bulan kedua.

Ceramah motivasi yang diadakan di dewan serba guna syarikat tersebut di Perindustrian Sungai Duhon, menampilkan seorang tenaga pengajar dalam seni mempertahankan diri dan pengasas Silat Suffian, Awang Morlahne bin Haji Mornie atau lebih dikenali sebagai Maul Mornie.

Terdahulu, acara dimulakan dengan acara senamrobik yang dilakukan di luar Pejabat BOMS dan menaikkan bendera negara serta menyanyikan lagu kebangsaan bagi menanamkan sifat patriotik dalam diri setiap pelajar.

Awang Maul Mornie memberi ceramah motivasi kepada 40 pelajar PLM, kelmarin.
Awang Maul Mornie memberi ceramah motivasi kepada 40 pelajar PLM, kelmarin.
Antara warga PLM yang khusyuk mendengar ceramah motivasi yang dianjurkan oleh Syarikat Borneo Oceanic Management Services.
Antara warga PLM yang khusyuk mendengar ceramah motivasi yang dianjurkan oleh Syarikat Borneo Oceanic Management Services.

Pengurus Latihan BOMS, Awang Amin bin Rambli memberitahu Media Permata, aktiviti sebegini sering diadakan bagi meningkatkan semangat pelajar-pelajar dalam mengharungi kehidupan yang penuh rintangan, sebagai persiapan mereka apabila mereka menamatkan pengajian mereka dan melangkah masuk ke alam pekerjaan nanti.

“Ceramah motivasi ini bertujuan memberikan mereka perspektif berlainan untuk membuka minda mereka supaya mereka tidak merasa terperangkap dalam ‘comfort zone’ mereka dan mencuba untuk tampil berani menerokai perjalanan yang ada di hadapan mereka,” katanya lagi.

Awang Maul ketika ditemu bual juga menyatakan bahawa ceramah motivasi tersebut memberi peluang kepada beliau untuk memberikan sedikit sebanyak nasihat mengenai bagaimana seseorang itu boleh menghadapi pelbagai cabaran hidup di dunia dan mampu mencapai kejayaan dan tanda kemenangan dalam apa juga objektif yang ingin dicapai dalam hidup.

Ceramah antara lain diisikan dengan tayangan video mengenai latar belakang Silat Suffian yang semakin naik dan terkenal di arena antarabangsa serta pembabitan aktiviti para peserta Silat Suffian daripada kebanyakan negara dalam seni mempertahankan diri tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA