Suntik semangat pelajar

Suntik semangat pelajar

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Sebagai pemberi galakan dan motivasi serta penyuntik semangat kepada para pelajar agar terus berusaha dengan lebih gigih di masa akan datang, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Terbaik Pra U1 bagi tahun 1437H/2016M di Dewan Al-Azkiyaa, sekolah berkenaan, hari ini.

Seramai 90 pelajar Pra U1 terbaik dan cemerlang dalam Peperiksaan Kelayakan Pra STPUB 2016 dan Peperiksaan Kelayakan BC GCE ‘AS’ Level 2016 pada majlis tersebut telah menerima anugerah masing-masing yang terdiri daripada Anugerah Bilatini (Platinum), Zahabi (emas), Fiddhi (perak), Berunzi (gangsa) dan sijil.

Anugerah-anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Institusi Pengajian, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Shamsol bin Haji Omar selaku tetamu kehormat majlis.

Menurut kenyataan daripada pemangku pengetua sekolah berkenaan, Hajah Norjainah binti Haji Buntar, seramai 11 orang pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Pra STPUB telah menerima anugerah mereka, di mana empat pelajar telah menerima Anugerah Bilatini, dua pelajar menerima Anugerah Zahabi, tiga pelajar menerima Anugerah Fiddhi dan dua pelajar menerima Anugerah Berunzi.

Manakala pelajar cemerlang dalam peringkat aliran STPUB , seramai empat orang menerima Anugerah Bilatini, 11 pelajar menerima Anugerah Zahabi, 24 orang menerima Anugerah Fiddhi dan 23 pelajar menerima Anugerah Berunzi.

Haji Shamsol  menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada salah seorang pelajar.
Haji Shamsol menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada salah seorang pelajar.

Sementara itu, seramai tiga pelajar cemerlang menerima Anugerah Fiddhi dalam peringkat BC GCE ‘AS’ Level dan 14 pelajar menerima Anugerah Berunzi.

Majlis penyampaian anugerah tersebut juga diselajurkan dengan penyampaian sijil kepada tenaga pengajar yang berhasil memperolehi pencapaian 100 peratus dalam mata pelajaran yang diajarkan selama tiga tahun berturut-turut dalam peperiksaan bersijil iaitu dalam Peperiksaan Pra STPUB, STPUB dan BC GCE ‘AS’ Level.

Sementara itu, Haji Shamsol dalam ucapannya dalam majlis tersebut turut mengucapkan tahniah atas kejayaan para pelajar yang diraikan. Menurutnya walaupun ia diadakan dalam keadaan ringkas dan sederhana, tetapi ia cukup bermakna bagi para pegawai dan guru sekolah berkenaan kerana dapat melihat hasil jerih payah dan keberkesanan pengajaran dan pendidikan yang telah diberikan kepada para pelajar.

“Sesungguhnya, kejayaan dan kecemerlangan yang diraikan pada hari ini merupakan kesepaduan usaha sama pihak pelajar, para guru dan juga ibu bapa. Kejayaan para pelajar ini merupakan hadiah yang tidak terhingga nilainya bagi guru-guru dan ibu bapa masing-masing. Bagi para pelajar pula merasa bersyukur dan gembira kerana usaha dan penat lelah mereka selama ini berbaloi dengan pencapaian yang mereka perolehi pada hari ini. syabas dan tahniah kepada semua yang berjaya.”

Beliau dalam pada itu juga turut memberi nasihat kepada para pelajar agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, bersabar dan sentiasa berusaha dalam menangani apa jua cabaran dan halangan untuk meraih sebuah kejayaan .

Beliau juga menyeru kepada para pelajar agar tidak mudah berputus asa serta sentiasa meningkatkan kualiti pembelajaran masing-masing, menghindari perbuatan negatif dan buruk seperti merokok, ponteng sekolah, membuli dan lain-lain perkara yang boleh menjerumus kepada kebinasaan.

Majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan persembahan tausyeh daripada Kelab Syababul Quran dan diikuti bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh El-Sayed Abdel Kadir Zaghloul.

ARTIKEL YANG SAMA