Suntik semangat peperiksaan

Suntik semangat peperiksaan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei 1, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Ceramah Motivasi bagi para pelajar Darjah VI dari Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei 1 yang bakal menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bulan ini.

Ceramah yang diadakan di Sekolah Ugama Pusar Ulak itu dihadiri oleh seramai 146 pelajar Darjah VI dari sekolah-sekolah ugama Kawasan Brunei 1.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Sekolah Ugama JPI, Hajah Sinega binti Haji Swadi, Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei l, Hajah Noorsiah binti Haji Mohd Noor dan Pembantu Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei 1, Awang Osman bin Haji Ismail serta pegawai-pegawai dari JPI, guru-guru besar dan guru-guru Darjah VI sekolah-sekolah ugama Kawasan Brunei 1.

Kalangan pelajar yang menghadiri Ceramah Motivasi sebelum menghadapi peperiksaan SSSRU.
Kalangan pelajar yang menghadiri Ceramah Motivasi sebelum menghadapi peperiksaan SSSRU.
Salah seorang penceramah motivasi ketika menyampaikan tip-tip menjelang peperiksaan kepada para pelajar Darjah VI.
Salah seorang penceramah motivasi ketika menyampaikan tip-tip menjelang peperiksaan kepada para pelajar Darjah VI.

Dalam majlis itu, ceramah motivasi telah disampaikan oleh Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei lll, Awang Zamery bin Haji Nayan, Pembantu Pegawai Pengajian Islam Daerah Tutong, Awang Haris Hamdillah bin Haji Masri dan Ketua Unit Akademik dan Peperiksaan Bahagian Sekolah Agama, Haji Sufri bin Amit@Othman.

Antara tujuan ceramah berkenaan adalah bagi meningkatkan semangat, membantu menyediakan persiapan daripada segi mental dan fizikal kepada para pelajar serta mengajar cara-cara atau teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan tepat sebagaimana yang dikehendaki soalan sebelum peperiksaan itu nanti.

Majlis kemudian diakhiri dengan doa selamat yang dibacakan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kampung Saba, Awang Mohd Halidi bin Haji Basar.

ARTIKEL YANG SAMA