Suntik semangat sebelum menjalani peperiksaan

Suntik semangat sebelum menjalani peperiksaan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 2 Okt – Bagi menyuntik semangat penuntut sebelum menduduki peperiksaan, Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman (SMSO), Tutong melalui Jabatan Kaunseling dan Kerjaya dengan kerjasama Jabatan Akademik Sekolah telah mengadakan program R.E.S.T.U dan Izin Ilmu bertempat di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.

Program ini merupakan yang ketiga diadakan, sebagai usaha pihak sekolah untuk menyuntik semangat penuntut-penuntut Tahun 11 yang akan menghadapi peperiksaan ‘O’ Level tahun ini.

Di samping itu, program berkenaan dapat memberikan motivasi kepada penuntut-penuntut untuk terus berusaha meningkatkan prestasi akademik mereka serta mengekalkan kecemerlangan yang dikecapi.
Lafaz Restu dan Izin Ilmu Guru serta akad ikrar mohon restu pelajar telah dijalankan bagi menyatakan keikhlasan menghalalkan pengajaran dan pembelajaran bagi kedua-dua belah pihak.

Mengikut kenyataan sekolah berkenaan, ia sesuai dengan tuntutan agama Islam untuk sentiasa meminta restu dan reda demi mendapatkan rahmat dari Allah S.W.T dalam mencapai sesuatu kejayaan.

Penuntut-penuntut SMSO melafazkan ikrar bagi memohon restu kepada guru dan ibu bapa serta penjaga masing-masing.
Penuntut-penuntut SMSO melafazkan ikrar bagi memohon restu kepada guru dan ibu bapa serta penjaga masing-masing.

Sebelum majlis berakhir, ibu bapa dan penjaga yang hadir diminta untuk menulis kata-kata mutiara dan doa harapan di atas kanvas sebelum anak mereka menduduki peperiksaan.

Program ini diharap akan dapat membantu memberikan sokongan dan meningkatkan keyakinan anak-anak mereka dalam menjawab soalan semasa peperiksaan itu nanti.

Program berkenaan turut dihadiri oleh para ibu bapa dan penjaga para penuntut.

ARTIKEL YANG SAMA