Suntik semangat tenaga pengajar

Suntik semangat tenaga pengajar

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 10 Sept – Lebih 50 pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dan jabatan
kerajaan lainnya peringkat Daerah Belait telah menghadiri ceramah motivasi bertajuk ‘Ilmu Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan’ yang telah berlangsung di Dewan Persidangan Daerah Belait, petang tadi.

Ceramah telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Malaysia, Profesor Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim yang juga telah menyampaikan ceramah motivasi di Masjid Zainab, pagi tadi.

Pengerusi majlis anjuran Kluster 6 Jabatan Sekolah-Sekolah Daerah Belait itu, Awang Mohd Hatta bin Haji Suhaili memberitahu Media Permata, ceramah itu diadakan untuk mendedahkan kepada kalangan tenaga pengajar, pemimpin-pemimpin sekolah di Daerah Belait untuk sama-sama menimba ilmu daripada apa yang disampaikan oleh penceramah yang juga terkenal sebagai pensyarah di Al-Madinah Al-Munawwarah sebelum ini dan pada masa ini bertugas di UniKL Business School Kuala Lumpur.

Beliau berkata, para pegawai dan kakitangan yang hadir diharap dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari menerusi ceramah berkenaan dalam menjalankan kehidupan seharian bukan sahaja di rumah bahkan juga di sekolah, dan dalam masa sama pegawai-pegawai kerajaan turut dilibatkan supaya dapat berkongsi ilmu melaluinya.

Penceramah undangan dari Malaysia Profesor Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim.
Penceramah undangan dari Malaysia Profesor Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim.

Menurut beliau lagi, aktiviti-aktiviti seperti ceramah motivasi dan sebagainya adalah antara yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama bahagian penggerak Jabatan Perdana Menteri, untuk menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai sasaran peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) sebanyak 90 peratus menjelang 2017.

“Ceramah-ceramah motivasi seperti ini merupakan salah satu fungsi atau aktiviti kami untuk terus menyuntik semangat kepada tenaga pengajar, pemimpin sekolah, supaya akan lebih bersemangat bagi mencapai ke arah sasaran itu nanti,” tambah beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa sesi motivasi juga dilihat penting untuk guru-guru dan pemimpin di sekolah bagi terus meningkatkan semangat dan secara tidak langsung akan menular kepada para pelajar.

Sementara itu, Profesor Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim dalam ceramahnya, antara lain menekankan bagaimana melalui kehidupan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan mencapai matlamat akhir untuk menuju ke syurga firdaus. Bagaimanapun, katanya, ujian di akhir zaman ini amat banyak, sehubungan itu melalui ceramah yang disampaikan, sekurang-kurangnya individu boleh membuat keputusan sendiri ke mana hendak mereka tuju.

“Dalam Surah Al-Zariat ayat 56 Allah Subhanahu Wata’ala berfirman bermaksud, tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beramal ibadat kepada Ku” dan beliau berkata jika kita sebagai hamba Allah sentiasa mengikut asas-asas tersebut Insya-Allah kita akan dapat apa yang kita ingini, iaitu mendapat rahmat dan reda Allah SWT.

Profesor Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim pernah menjadi pensyarah di Taibah Universiti, Al-Madinah Al-Munawwarah dan Universiti Teknologi MARA, selain itu, beliau merupakan pengasas dan Felo Kanan UiTM-ACCA Financial Reporting Research Centre, Ketua Penyunting Journal of Financial Reporting dan Accounting Emerald London (2008-2011), Reviewer serta Journal of Financial Reporting Emerald London pada tahun 2008 hingga sekarang. Beliau juga seorang penulis tamu di KOSMO, Utusan Publications, ANIS, Galeri Ilmu dan Majalah 1, Karangkraf. Antara penulisan-penulisan yang diterbitkan termasuk Hadiah buat Sahabat, Hadiah buat Anak, Merenung Diri, Bersamamu di Firdaus, Usahawan Akhirat dan Nota dari Madinah.

ARTIKEL YANG SAMA