Suntikan baru

Suntikan baru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Usaha untuk meningkatkan minat terhadap sukan bola keranjang di negara ini dikembangkan lagi dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) di antara Shooting Stars Brunei Basketball (SSBN) dan MVP Basketball Academy, Malaysia pada majlis yang berlangsung di Fitness Zone, Kiulap, hari ini.

Memorandum persefahaman itu ditandatangani oleh Pengasas dan Jurulatih SSBN, Kenneth Tan bersama Pengarah MVP Basketball Academy, Wong Wing Wai dengan disaksikan oleh Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun.

Menurut Kenneth, dengan penandatanganan memorandum itu, SSBN akan mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada pihak MVP Basketball Academy untuk menubuhkan Akademi Sukan Shooting Stars dengan pelaksanaan program di peringkat akar umbi lagi.

Kenneth menekankan bahawa penubuhan akademi itu bukannya untuk menggantikan program-program latihan yang dikendalikan oleh Persatuan Bola Keranjang Brunei tetapi ia merupakan program untuk mendidik dan menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sukan bola keranjang.

Beliau juga berharap menerusi program yang dikendalikan nanti, ia akan menggalakkan kanak-kanak untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat menerusi penyertaan dalam kegiatan sukan serta membina keyakinan dan disiplin diri mereka.

Kenneth (kiri) dan Wong (kanan) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan disaksikan oleh Wu Chun (tengah).
Kenneth (kiri) dan Wong (kanan) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan disaksikan oleh Wu Chun (tengah).

Wu Chun pula amat mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan itu kerana beliau yang mula bermain bola keranjang pada usia lapan tahun, percaya sukan itu dapat membina keyakinan diri, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau juga menyatakan usaha itu setentunya dapat menggalakkan lebih ramai kanak-kanak untuk menyertai sukan bola keranjang dan dapat mencungkil bakat-bakat pemain bola keranjang tempatan yang boleh dilatih untuk mewakili negara di masa akan datang.

Sementara itu, Wong berharap menerusi penandatanganan memorandum itu, ia merupakan satu permulaan dalam kerjasama kedua belah pihak untuk sama-sama menarik minat kanak-kanak dalam sukan bola keranjang dan mengongsi pengalaman MVP dalam mengendalikan program-program dan klinik-klinik bola keranjang.

Kenneth menambah bahawa menerusi memorandum itu, SSBN akan dibantu oleh MVP Basketball Academy untuk meningkatkan kemahiran jurulatih tempatan SSBN di mana kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kanak-kanak dan belia tempatan yang menyertai SSBN untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan bola keranjang masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA