Super Gemuk beri kesan mudarat

Super Gemuk beri kesan mudarat

pg06_150818_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Setelah ujian dijalankan ke atas sampel yang diperolehi menerusi aktiviti pemantauan di kedai-kedai runcit, Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa produk kesihatan dinamakan Super Gemuk (gambar) telah didapati mengandungi Dexamethasone.

Menurut kenyataan kementerian itu, bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan, yang mana penggunaan kortikosteroid Dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s Syndrome yang dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.

Pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.

Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya turut menekankan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $ 8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $ 16,000 dan 12 bulan penjara.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di talian 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel ke alamat pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras.