Supergirl kembali dengan musim baru

Supergirl kembali dengan musim baru

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

KEHEBATAN kuasa dan aksi para adiwira menentang pihak musuh seringkali berjaya menarik perhatian para penonton dan begitu juga dengan siri Supergirl yang menampilkan seorang wanita sebagai adiwira yang harus berusaha untuk melindungi masyarakat yang teraniaya dan mematahkan sebarang kegiatan jenayah.

Musim terbaru dalam siri ini dimulakan dengan menampilkan watak Superman lakonan Tyler Hoechlin yang menentang pihak musuh dengan gaya yang sangat berani dan turut memaparkan aksi serta kuasa adiwira itu yang cukup hebat.

Setelah itu, pertarungan itu telah berjaya menarik perhatian Supergirl lakonan Melissa Benoist sekali gus membantu Superman untuk menentang pihak musuh.

Melalui pertemuan yang tidak disengajakan itu, kedua-dua adiwira yang berasal dari planet Krypton itu membuat keputusan untuk bergabung bagi bekerjasama untuk menentang pihak musuh.

Selain menjadi Supergirl, Kara juga merupakan seorang jurnalis yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan Catco.

Malah hubungan percintaan Kara dengan rakan sekerjanya James Olsen lakonan Mehcad Brooks juga semakin goyah berikutan daripada kemunculan seorang lelaki kacak bernama Mon-El lakonan Chris Wood yang berasal dari Daxamite.

Antara misi yang harus dihadapi oleh Supergirl dan Superman di dalam musim terbaru ini adalah menyelidiki sebarang anasir konspirasi yang diwujudkan oleh sebuah organisasi gelap iaitu Project Cadmus.

Di samping itu, antara musuh utama yang harus dihadapi oleh kedua-dua adiwira itu adalah musuh ketat Superman iaitu Lex Luthor.

Secara keseluruhan keserasian di antara Melissa Benoist dan Tyler Hoechlin jelas cukup terpamer dalam dua watak adiwira yang ditampilkan di dalam siri televisyen ini.

Dipercayai lebih banyak karakter DC Universe yang bakal ditampilkan di dalam musim kedua siri Supergirl ini dan sekiranya anda adalah pembaca komik ini jangan terlepas untuk menontonnya sehingga ke penghujungnya.