Suplemen kesihatan, krim kosmetik dicemari

Suplemen kesihatan, krim kosmetik dicemari

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Lima lagi produk, termasuk satu suplemen kesihatan dan empat produk kosmetik, telah didapati tercemar dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Hasil daripada ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, produk suplemen kesihatan Al-Taqwa Juice Skyline Sihat dan Kuat dicemari dengan Dexamethasone, manakala itu, set produk kosmetik AZ Cosmetic termasuk Day Cream, Night Cream dan Sunblock dicemari dengan Merkuri dan Treatment Cream pula mengandungi Hydroquinone.

Produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Penggunaan kortikosteroid Dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

Al-Taqwa Juice Skyline Sihat & Kuat.
Al-Taqwa Juice Skyline Sihat & Kuat.
Set produk AZ Cosmetic.
Set produk AZ Cosmetic.

Penggunaannya dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Sindrom Cushing yang dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.

Pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa lama mungkin mengalami gejala termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.

Sementara itu, Merkuri merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007, dan penggunaannya dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.

Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan dari pengguna, yang boleh menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Hydroquinone pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitif, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau mengambil produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Manakala itu, orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel ke alamat pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA