Surah As-Sajdah jauhi segala kemudaratan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 12 Mac – Surah As-Sajdah mengemukakan hal-hal yang berhubungan dengan kebenaran Nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul Allah dan Al-Quran yang diturunkan kepadanya merupakan petunjuk bagi manusia, menegaskan tentang ketauhidan dan kekuasaan Allah dengan mengemukakan hal-hal yang berhubungan dengan masa terciptanya alam, proses kejadian manusia dan kebangkitan pada Hari Kiamat serta keajaiban yang terdapat pada alam semesta.

Perkara tersebut antara yang dikongsikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Masri bin Haji Mohammad semasa menyampaikan tazkirah mengenai kelebihan Surah As-Sajdah di Majlis Halaqah Zikir bersempena Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta bagi Masjid-masjid Daerah Tutong (peringkat penuntut-penuntut sekolah menengah), pagi tadi.

Menurutnya lagi, kelebihan Surah As-Sajdah kepada pembacanya pula mengandungi manfaat antaranya ialah mendapat ganjaran pahala seperti solat semasa Lailatul Qadar, dikuatkan iman dan ketauhidannya, mendapat ilmu yang benar, mendapat syafaat ketika di alam barzakh dan melindungi pembaca daripada kesusahan pada Hari Kiamat.

Haji Masri semasa menyampaikan tazkirah mengenai kelebihan Surah Al-Sajdah, pagi tadi.
Para penuntut khusyuk mendengarkan tazkirah semasa Majlis Halaqah Dikir dijalankan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, pagi kelmarin.

Tazkirah yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong itu dihadiri lebih kurang 100 pelajar dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dan Sekolah Menengah Muda Hashim.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pegawai Tugas-tugas Khas di Pejabat Daerah Tutong, Dayang Siti Joriahati binti Johari.

Sejurus tazkirah, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Sajdah beramai-ramai yang dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Awang Sahibol Omar bin Haji Mohd Yussof dan diikuti dengan bacaan Doa Khas dan Doa Allah Peliharakan Sultan oleh ketua Imam masjid berkenaan, Awang Mohd Fauzi bin Haji Anuar.