Surat Lin Dan satu penipuan – Chong Wei

Surat Lin Dan satu penipuan – Chong Wei

SEPANG, 25 Ogos – Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei semalam menafikan beliau menerima sepucuk surat yang dikatakan ditulis oleh musuh tradisinya dari China, Lin Dan.

Ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar sejurus tiba dari Rio de Janeiro di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, Chong Wei berkata surat berkenaan adalah satu penipuan wartawan negara China.

“Saya tak tulis, dia (Lin Dan) pun tak tulis. Itu wartawan China sendiri tulis…itu tipu,” katanya berseloroh.

“Kamu ingat kita cinta ke…tulis surat ke?” kata Chong Wei lagi dan mengundang gelak ketawa wartawan yang hadir.

Surat berbahasa Mandarin yang didakwa ditulis oleh Lin Dan kepada Chong Wei itu menjadi viral dalam media sosial selepas aksi separuh akhir yang perseorangan lelaki Sukan Olimpik pada Jumaat lepas yang melibatkan kedua-dua pemain.

Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi me-nentang Lin Dan pada perlawanan separuh akhir badminton di Riocentro Pavilion 4 sempena Temasya Sukan Olimpik Rio 2016. – Bernama
Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi me-nentang Lin Dan pada perlawanan separuh akhir badminton di Riocentro Pavilion 4 sempena Temasya Sukan Olimpik Rio 2016. – Bernama

Bingkisan surat berkenaan kemudiannya diterjemah dan dikongsi jutaan peminat badminton termasuk di Malaysia.

Chong Wei dalam penampilan terakhir beliau dalam Sukan Olimpik berjaya meranapkan impian Lin Dan dalam mempertahankan gelaran Olimpik terakhirnya dalam aksi penuh mendebarkan.

Pemain berusia 33 tahun dari Pulau Pinang itu, akhirnya berjaya menamatkan statusnya selaku pemain kedua terbaik di dua temasya Olimpik lepas – 2008 di Beijing dan 2012 di London – selepas menewaskan jaguh China itu 15-21, 21-11, 22-20 dalam masa 71 minit. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA