Suruhanjaya Tinggi India rai Hari Kemerdekaan

Suruhanjaya Tinggi India rai Hari Kemerdekaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – India terus berusaha untuk mengeratkan hubungan persahabatan dan kerjasama dengan Negara Brunei Darussalam di mana hubungan itu bukan hanya terhad kepada pertukaran lawatan di peringkat tertinggi tetapi juga menerusi hubungan perdagangan, pendidikan dan kebudayaan.

Di samping itu, Brunei merupakan pembekal minyak mentah utama bagi India serta memainkan peranan penting sebagai negara penyelaras untuk India di ASEAN bermula Julai 2012 hingga Julai 2015.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Nagma M. Mallick berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan India ke-70, hari ini.

Negara Brunei Darussalam terus menjadi rakan kerjasama yang amat penting bagi India dan juga hubungan persahabatan di antara penduduk kedua-dua negara amat dihargai di mana terdapat ribuan warganegara India bertugas dan menetap di negara ini dengan sebahagian besar daripada mereka berada dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, sektor pendidikan dan perubatan.

Warga India yang berkhidmat dan menetap di Brunei sama-sama hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di perkarangan Suruhanjaya Tinggi India.
Warga India yang berkhidmat dan menetap di Brunei sama-sama hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di perkarangan Suruhanjaya Tinggi India.
Nagma M. Mallick menyempurnakan ucapara menaikkan bendera dan Sambutan Hari Kemerdekaan India ke-70.
Nagma M. Mallick menyempurnakan ucapara menaikkan bendera dan Sambutan Hari Kemerdekaan India ke-70.

Bagi meraikan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan India ke-70, Suruhanjaya Tinggi India di Kampung Sungai Akar telah mengadakan Majlis Menaikkan Bendera dan Sambutan Hari Kemerdekaan India ke-70.

Nagma M. Mallick pada majlis berkenaan telah menyempurnakan upacara menaikkan bendera India dan juga turut membacakan ucapan Presiden India, Pranab Mukherjee di mana ucapan itu menyentuh mengenai perkembangan, kemajuan dan aspirasi India ke arah pembangunan mapan dalam pelbagai bidang termasuk hubungan India dengan negara-negara sahabat serantau dan antarabangsa.

Nagma M. Mallick juga menyeru semua warganegara India yang bertugas dan menetap di negara ini untuk terus berusaha dengan tekun bagi mencapai kejayaan serta sentiasa menghormati adat dan undang-undang Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA