Survival negara terletak pada masyarakat

Survival negara terletak pada masyarakat

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Dalam era abad ke-21 ini, survival sesebuah negara itu terletak pada cara masyarakat berfikir dan bertindak sesuai dengan kehendak serta cabaran di sekeliling kepada kemajuan negara.

“Untuk itu, kita perlu mempunyai nilai jati diri yang jitu dan nilai ini tidak boleh diajarkan sebagai satu modul mata pelajaran di institusi pendidikan atau sekolah, ia boleh lahir di dalam seseorang individu yang boleh dikenal pasti secara efektif dalam suasana yang mencabar inspirasi berpandukan kepada Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).”

Ini ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman pada Majlis Konvokesyen Kolej IGS 2015, pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, nilai sebeginilah merupakan kekayaan sebenar yang dihasratkan untuk mencapai perkembangan sesebuah negara.

Modal insan bukan setakat mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, tetapi ia juga mencakupi aspek peribadi serta akhlak tinggi yang perlu ada pada seseorang itu.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej IGS kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej IGS kelmarin.

“Dalam dunia yang serba moden ini, modal insan bermoral tinggi merupakan satu keperluan. Maka dalam membentuk keterampilan modal insan, pendidikan seimbang perlu di aplikasikan, Subjek MIB dimantapkan, aktiviti kokurikulum diperhebatkan dan disiplin pelajar dipertingkatkan,” tambahnya.

Sistem pendidikan perlu melahirkan individu yang kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara.

Kesimpulannya, pendidikan berkualiti menjelaskan kolerasi yang simbiotik antara institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik berdedikasi yang boleh menjadikan pelajar modal insan berintegriti dan berwibawa.

Yang Berhormat Pehin turut menekankan, dalam menghadapi cabaran globalisasi, peranan institusi pendidikan swasta dilihat lebih mencabar.

Tidak dapat dinafikan institusi pendidikan swasta turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri.

Pasaran pekerjaan ketika ini melihat institusi pendidikan sebagai pusat kepakaran dalam membantu menyediakan keperluan pakar mengikut kehendak pasaran dengan menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran, berpengetahuan serta berkelayakan.

Oleh itu, beliau menyeru supaya jaringan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang lebih luas khususnya dalam bidang-bidang kritikal bagi melahirkan cendekiawan yang berkemahiran tinggi.

Selain itu, ia juga menjadi usaha untuk melahirkan bakat terpelajar berteraskan nilai agar proses transformasi pendidikan menuju ekonomi maju berteraskan pengetahuan dapat dicapai.

Beliau turut menyarankan sektor pendidikan swasta menyusun strategi yang lebih berkesan, antaranya kurikulum perlu dibentuk selari dengan aliran keperluan pembangunan industri dan kemajuan teknologi supaya relevan dengan persekitaran semasa, serta menekankan penggunaan “Higher order Thinking and Creative Skills” yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik.

Sementara itu, tambah beliau lagi, pembudayaan kurikulum holistik dan berintegrasi harus diterapkan menerusi penyampaian dan penilaian, pembelajaran perkhidmatan dan inovasi, di samping penekanan terhadap ciri-ciri keusahawanan dan kemahiran insaniah.

“Oleh itu, para graduan perlulah memiliki semangat dan cita-cita yang jelas dengan bersandarkan kreativiti, inovasi, ilmu pengetahuan serta pelbagai kemahiran untuk mencapai hasrat dan cita-cita yang diinginkan.”

Menurutnya lagi, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan dalam bentuk latihan, bantuan kewangan, perkembangan perniagaan mahupun biasiswa bagi menyokong pembangunan keusahawanan muda melalui pelbagai skim dan insentif.

Jursteru itu, pengukuhan kedudukan institusi di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kolaborasi dengan negara-negara luar digalakkan supaya akan dapat memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan pelajar-pelajar di arena antarabangsa melalui perlaksanaan modul-modul yang tertentu selaras dengan kehendak kurikulum yang dikendalikan, peningkatan produktiviti menerusi kolaborasi penyelidikan dan pemindahan teknologi.

ARTIKEL YANG SAMA