Suspek bawa senjata tiruan di sempadan M’sia-Brunei

Suspek bawa senjata tiruan di sempadan M’sia-Brunei

MIRI/LAWAS, 14 Julai – Polis Lawas menahan dua suspek serta merampas enam senjata tiruan pelbagai jenis, peluru plastik dan kanister gas bernilai RM7,000 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Mengkalap Lawas, Limbang, 10:30 malam tadi.

Ketua Polis Lawas, DSP Abang Zainal Abidin berkata, kedua-dua suspek yang ditahan ialah seorang suspek lelaki 34 tahun berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu dan pasangannya seorang wanita berusia 36 tahun berasal dari Kuala Penyu, Sabah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang akan ditahan reman mulai hari ini tiada kaitan dengan militan Daesh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abang Zainal berkata, suspek mendakwa senjata dan peluru yang dibeli dari Indonesia menerusi pembelian secara dalam talian adalah untuk tujuan koleksi peribadi.

Beliau berkata, suspek juga mendakwa kesemua barangan terbabit hendak dibawa balik ke Semenanjung melalui pe-nerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah.

TIRUAN...Senjata api tiruan yang dirampas polis malam kelmarin.  – Gambar Arissa
TIRUAN…Senjata api tiruan yang dirampas polis malam kelmarin. – Gambar Arissa

“Antara senjata tiruan dirampas ialah pistol, raifal, ‘pump gun’, dua kotak kanister gas dan dua bungkusan peluru plastik,” katanya.

Beliau berkata ada sesetengah senjata yang dirampas itu diperbuat daripada besi dan menyerupai senjata sebenar.

Sebelum suspek ditangkap, beliau berkata, suspek yang memandu kereta jenis Honda Accord dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh pegawai Imigresen yang bertugas di CIQ Mengkalap.

CIQ Mengkalap Lawas adalah pintu masuk utama menuju ke daerah Lawas, Limbang dari Daerah Temburong, Brunei. – Bernama