Suspek bom Peshawar ditahan di Itali

Suspek bom Peshawar ditahan di Itali

ROM, 26 Jun (AFP) – Seorang warga Pakistan yang dituduh menganjurkan serangan bom 2009 di pasar Peshawar yang membunuh lebih 130 orang, telah ditahan di Itali, menurut polis hari ini.

Siyar Khan, 36, yang juga disyaki terlibat dalam plot berpotensi ke atas Pope Francis, telah ditangkap atas tuduhan keganasan ketika dia melangkah keluar dari sebuah pesawat dari Islamabad ke Rom pada malam Khamis.

Dalam satu kenyataan, polis mengatakan mereka mensyaki dia telah memainkan ‘peranan penting’ dalam apa yang dikatakan salah satu serangan terburuk dalam sejarah Pakistan – pengeboman 28 Oktober 2009 di Bazar Meena yang penuh sesak meragut 134 jiwa, termasuk beberapa orang wanita dan kanak-kanak, serta lebih 200 lagi cedera.

Pihak berkuasa pada ketika itu menyalahkan Taliban, yang menafikan menjalankan serangan itu.

Detektif antipengganas Itali percaya Siyar Khan adalah sebahagian daripada rangkaian jihad yang berpangkalan di Itali yang merancang serangan pengganas di Rom dan kemungkinan menyerang Vatican dengan melancarkan serangan pengebom berani mati yang diimport dari Pakistan.

Suspek, yang penduduk sah di Itali, dituduh melindungi salah seorang pengebom berani mati, yang memasuki negara itu pada Mac 2010 dan dipercayai masih lagi berleluasa.

Penahanan Khan muncul dua bulan selepas polis di pulau Sardinia mengeluarkan 18 waran tangkapan sebagai sebahagian operasi ke atas apa yang gambarkan sebagai sel pengganas Islamis yang diketuai dua bekas pengawal peribadi Osama bin Laden.