Suspek dipercayai warga asing

Suspek dipercayai warga asing

BANGKOK, 19 Ogos – Pihak berkuasa Thai berkata mereka sedang menjejak rakan suspek utama pengeboman di Kuil Erawan kelmarin yang menyebabkan 22 terbunuh.

Mengikut polis, imej CCTV menunjukkan seorang lelaki membuang beg galas yang dibawanya di kuil itu dan terus berlalu pergi.

“Kami syak dia adalah pengebom itu,” kata jurucakap polis Thailand, Prawut Thawornsiri, merujuk kepada imej seorang lelaki berbaju T kuning. Video rakaman CCTV itu kini viral di laman sosial.

“Kami juga sedang mengesan seorang suspek lain berhubung letupan bom ini. Serangan seperti ini biasanya dirancang lebih daripada seorang,” kata Prawut.

Kerajaan menegaskan serangan bom itu yang disasarkan pada tempat tumpuan umum terutama pelancong, bertujuan merosakkan ekonomi Thailand yang meraih sejumlah besar pendapatan daripada kegiatan pelancongan.

Gambar lakaran suspek pengeboman yang dikeluarkan oleh Polis Thailand kelmarin. - Reuters
Gambar lakaran suspek pengeboman yang dikeluarkan oleh Polis Thailand kelmarin. – Reuters

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu yang turut mengorbankan lapan warga asing dan menyebabkan lebih 120 cedera.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Thailand, Jaktip Chaijinda, berkata berdasarkan rakaman CCTV, susuk penampilan fizikal lelaki itu cenderung menunjukkan dia adalah warga asing, berbanding lelaki Thai. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA