Suspek kes Bill Kayong serah diri

Suspek kes Bill Kayong serah diri

MIRI, 19 Ogos – Seorang daripada tiga suspek yang dikehendaki berhubung pembunuhan Setiausaha PKR cawangan Miri Bill Kayong pada Jun telah menyerah diri di balai polis Miri semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar berkata lelaki berusia 50 tahun itu diiringi oleh peguamnya semasa menyerah diri kira-kira pukul 4:50 petang.

Menurut polis, suspek ialah pembantu peribadi kepada seorang yang berpangkat ‘datuk’, dipercayai perancang pembunuhan Kayong.

Polis telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan seorang ‘datuk’ berusia 45 tahun yang telah melarikan diri ke Singapura dan kemudian ke Melbourne, Australia.

Dalam satu kenyataan di sini, Dev berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri esok untuk mendapatkan perintah reman dan sebelum didakwa. Beliau berkata polis juga sedang berusaha untuk mengesan suspek ketiga, berusia 35 tahun yang memiliki sebuah pusat karaoke KTV.

Beliau berkata bahawa pada 9 Julai, Mahkamah Majistret Miri telah mengeluarkan waran tangkap bagi ketiga-tiga mereka.

Kayong, 43 ditembak mati dalam kenderaan Toyota Hilux kira-kira 8:30 pagi pada 21 Jun, di persimpangan lampu isyarat di Lutong dekat pasar raya E-Mart di Jalan Miri-Bintulu. – Bernama