Suspek kes bunuh pelajar SMK Merbau direman

MIRI, 10 Jan – Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau di sebuah rumah sewa di Permyjaya di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata suspek berasal dari Kuala Lumpur itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada jam 2.30 petang ini untuk mendapatkan perintah reman.

Beliau memberitahu Bernama bahawa ???Majistret Zuraini Ali Musa membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan reman difailkan oleh Pegawai Penyiasat, ASP Lee Chee Kiat.

Mengenai motif pembunuhan, beliau berkata siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca pergaduhan antara suspek dan mangsa berusia 13 tahun itu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, pelajar Tingkatan Satu itu dibunuh dipercayai dicekik oleh teman lelaki ibu mangsa di rumah sewa mereka selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Dev berkata ibu mangsa berusia 35 tahun itu bekerja di sebuah salun rambut di sini dan mengenali suspek yang bekerja di sebuah kedai perabot di Piasau, dekat sini, selama dua tahun sebelum menjalinkan hubungan sejak tahun lepas. – Bernama