Suspek kes cabul diberkas

Suspek kes cabul diberkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Unit Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun berhubung kes cubaan mencabul pelajar perempuan yang berlaku di Sekolah St. Andrew di sini pada 29 Jun lalu.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman berkata, lelaki tersebut yang menyerupai gambaran yang diberikan berhubung kes berkenaan ditangkap kira-kira jam 8.00 malam ini dan kini ditahan di Balai Polis Pusat untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil usaha bersepadu antara jabatan-jabatan polis serta saksi-saksi yang membantu mengenalpasti suspek yang ditangkap.

Pada pagi 29 Jun lalu, seorang lelaki mencurigakan telah cuba memaksa seorang pelajar perempuan Sekolah St Andrew memasuki ke dalam keretanya tanpa sebab.

Bagaimanapun, pelajar berusia 11 tahun itu telah menjauhi lelaki tersebut serta melaporkan kejadian tersebut kepada gurunya, yang kemudian bertindak mengejar lelaki terbabit, tetapi dia (lelaki mencurigakan) sudah melarikan diri.

Lelaki itu juga dikatakan telah menyentuh di bahagian dada seorang lagi pelajar perempuan lain tetapi mangsa telah berjaya melepaskan dirinya daripada pegangan lelaki itu.

Sebelum ini, beberapa kejadian serupa juga dilaporkan berlaku di kawasan jagaan Balai Polis Seria pada tarikh-tarikh yang berasingan. Pada 10 Jun 2015 kira-kira jam 7.20 petang, polis menerima aduan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, mengatakan seorang lelaki yang memandu kereta jenis SUV berwarna putih menyuruhnya masuk ke dalam kereta tetapi dia sempat melarikan diri. Kejadian berlaku di kawasan Simpang 496, Panaga.

Kejadian kedua pula berlaku pada 12 Jun 2015 kira-kira jam 4.15 petang di kawasan F4/ F19 Panaga, yang dipercayai suspek yang sama menggunakan kereta jenis SUV berwarna putih dengan perbuatan yang sama ke atas mangsa lain. Mujurlah mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sempat melarikan diri. Manakala kejadian ketiga telah dilaporkan pada 16 Jun 2015 kira-kira jam 11.30 pagi mengenai seorang suspek dengan tatu di tangannya, yang memasuki kawasan permainan Sekolah Rendah Panaga dan bertanyakan kepada murid-murid sekolah yang bermain untuk membawakan suspek itu ke pondok pengawal keselamatan.

Tetapi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu telah melarikan diri dan melaporkan kepada guru mereka. Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada serta bekerja sama dengan polis untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara.

ARTIKEL YANG SAMA