Suspek kes menyamar polis ditahan

Suspek kes menyamar polis ditahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Dua daripada tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menyamar sebagai polis untuk merompak sebuah van yang membawa silinder gas di Jalan 77, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, kelmarin, telah ditahan awal pagi tadi dan malam ini.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman, memberitahu bahawa anggota Balai Polis Berakas membuat penahanan suspek pertama kira-kira jam 1:30 pagi di sebuah rumah di kawasan yang sama.

Suspek ialah seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun, dan kini ditahan reman di Balai Polis Berakas sehingga 16 Julai bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan selanjutnya.

Sementara itu malam ini, Media Permata difahamkan bahawa suspek kedua telah tampil menyerah diri kepada polis, bagaimanapun sehingga berita ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung penahanan suspek kedua itu.

Polis masih berusaha mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas.

ASP Haji Mohamad Noor berkata mahkamah memutuskan untuk mendakwa suspek pertama di bawah Seksyen 395 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai agar bekerjasama memberikan sebarang maklumat berkaitan kes ini dengan menghubungi talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

ARTIKEL YANG SAMA