Suspek kes rogol kena berkas

Suspek kes rogol kena berkas

LIMBANG, 10 Dis – Seorang pemandu lori ditahan polis Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang remaja Cina yang dilaporkan berlaku November lepas.

Suspek berbangsa Bisaya, 47, ditahan jam 3:05 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Limbang.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata suspek ditahan reman mulai kelmarin selama tujuh hari di lokap balai polis Limbang untuk siasatan lanjut.

November lalu, seorang remaja mendakwa dirogol beberapa kali tanpa kerelaan oleh seorang lelaki yang juga kenalannya.

Dalam kejadian jam 3:17 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun dan tidak belajar dihubungi suspek yang mengajaknya keluar.

Difahamkan mangsa pada mulanya menolak pelawaan tersebut, namun selepas dipujuk, mangsa bersetuju ke rumah suspek.

Pada mulanya mereka berbual dan menonton televisyen bersama dan suspek kemudiannya mengajak mangsa tidur di biliknya. – Arissa