Suspek kes rogol remaja disiasat

LAWAS, 11 Okt – Suspek yang disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan di sebuah hotel di bandar ini April lepas berjaya ditahan di hadapan sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pendawai elektrik dari Kampung Long Tengoa diberkas jam 9:30 malam Isnin.

Penahanan lelaki itu katanya hasil laporan polis yang dibuat mangsa bersama ketua kampungnya pagi Ahad lepas.

Abang Zainal berkata hasil siasatan awal suspek ada mengaku membawa mangsa ke sebuah hotel atas kerelaan mangsa sendiri April lepas.

“Bagaimanapun suspek tidak mengaku membuat apa-apa bayaran kepada ibu mangsa dan pemilik kelab hiburan terbabit.

“Suspek juga tidak mengaku merogol mangsa selepas suspek baru mengetahui mangsa merupakan anak saudaranya sendiri semasa berada di bilik hotel terbabit,” ujarnya hari ini.

Jelas beliau suspek direman semalam selama tujuh hari bermula Selasa dan bilik hotel berkenaan akan diperiksa untuk siasatan lanjut.

Mengikut keterangan kes pada Ahad lepas seorang remaja, 14, membuat laporan polis bersama ketua kampung jam 10:55 pagi di Balai Polis Lawas selepas mendakwa menjadi habuan seks seorang lelaki yang tidak dikenali yang merogolnya sebanyak tiga kali di sebuah hotel di bandar ini sejak April lepas.

Dalam laporan itu mangsa dirogol ketika dia bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke di Lawas dan dipaksa oleh ibu kandungnya dan pemilik karaoke tersebut untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Ekoran itu dua wanita termasuk ibu kandung mangsa, 30, dan seorang lagi suspek yang juga pemilik sebuah premis hiburan di bandar ini berusia 45 tahun, ditahan Isnin lepas. – Arissa