Suspek kes rompak bersenjata diberkas

Suspek kes rompak bersenjata diberkas

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Seorang lelaki penduduk tetap berusia 31 tahun, yang disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk kes rompak bersenjatakan pisau yang dilaporkan baru-baru ini, telah ditangkap di Kampung Pintu Malim, semalam.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan berkata, semasa membuat tangkapan tersebut, berlaku pergelutan apabila lelaki terbabit bertindak mengacukan satu replika senjata api kepada anggota polis yang cuba menahannya. Replika senjata api itu berjaya dilepaskan daripada tangan suspek dan dia akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

“Pasukan Polis Diraja Brunei sedang menjalankan siasatan yang terperinci ke atas lelaki tersebut dan kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Sementara itu, seorang pemilik kedai runcit di Sungai Lampai, Jalan Kota Batu memberitahu, beliau telah menutup kedainya lebih awal iaitu kira-kira jam 7:40 malam semalam apabila melihat sepasukan polis membuat tangkapan di depan kedainya.

“Kami terkejut apabila beberapa orang anggota polis menangkap seorang lelaki di depan kedai kami.

“Kami terpaksa menutup kedai atas sebab untuk memudahkan kerja-kerja siasatan pihak polis yang menutup sebahagian kawasan depan kedai,” ujar Haji Jahangeer kepada Media Permata.

Beliau turut menafikan laporan yang disebarkan menerusi media sosial kononnya kedai berkenaan telah dirompak oleh seorang lelaki bersenjatakan pistol.

ARTIKEL YANG SAMA