Suspek ketiga kes rompak van diberkas

Suspek ketiga kes rompak van diberkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Suspek ketiga kes rompak van yang membawa silinder gas di Jalan 77 Lambak Kanan pada pagi 8 Julai lalu telah ditangkap di sebuah bilik sewa di Kiulap awal pagi ini. Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditangkap kira-kira jam 1.10 pagi tadi.

Menurut Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman, kira-kira jam 4 petang ini, seorang lagi lelaki Cina tempatan berusia 47 tahun turut ditangkap dan akan didakwa di bawah Seksyen 212 Kanun Hukuman Jenayah kerana melindungi suspek. Katanya, lelaki Cina itu ditangkap di rumahnya nya di kawasan Salambigar. Kedua-dua tangkapan dibuat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Daerah Polis Brunei Muara dan mereka kini ditahan secara berasingan di Balai Polis Pusat dan Balai Polis Berakas, katanya kepada Media Permata.

Sehubungan itu beliau menegaskan bahawa melindungi suspek adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 212, Penggal 22 Kanun Hukuman Jenayah.

Kelmarin, dua adik-beradik yang terlibat dalam kes rompakan tersebut telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan merompak sebuah van yang membawa silinder gas baru-baru ini.

Kedua-dua tertuduh didakwa merompak dengan menghadang van berkenaan dan mengarahkan pemandunya, Rajesh Seetharaman berusia 35 tahun untuk menyerahkan wang $44 dan telefon bimbit Samsung Galaxy S2.

ARTIKEL YANG SAMA