Suspek pembunuhan 11 anjing dikenal pasti

Suspek pembunuhan 11 anjing dikenal pasti

BANDAR MEXICO, 27 Okt (AFP) – Seorang wanita berusia 63 tahun adalah suspek utama dalam peracunan ke atas kira-kira 11 ekor anjing di taman popular Bandar Mexico, siri-siri pembunuhan yang telah menakutkan para pemilik binatang kesayangan.

Wanita itu telah dikenal pasti, tetapi belum diberkas selepas dia mengakui apa yang telah dilakukannya kepada seseorang, seorang pendakwa bandar memberitahu AFP semalam.

Saksi itu sedang membawa anjing berjalan-jalan apabila wanita berusia 63 tahun itu berbual dan ‘bercakap tentang dia tidak menyukai anjing, dan berkata dia tahu tentang racun kerana dia adalah seorang ahli kimia dan dia telah membunuh anjing-anjing itu’, menurut pendakwa bernama Oscar Montes de Oca.

Tersangka itu tinggal di kawasan berhampiran daerah moden Condesa, tempat terletaknya Mexico Park, tempat berlakunya jenayah itu, menurut de Oca.

Tetapi dia belum ditahan lagi kerana dia belum lagi dilihat secara terang-terangan meletakkan daging yang telah disimpan racun, di taman itu, satu tempat yang disukai oleh para pemilik anjing di bandar besar yang didiami oleh 20 juta penduduk.

De Oca berkata para penyiasat sedang mengkaji 278 rakaman dari kamera pengawasan untuk mendapat lebih banyak bukti dalam kes ini, yang telah mengundang kemarahan kumpulan-kumpulan hak asasi haiwan.

Para pemilik anjing telah mengadakan bantahan di Mexico Park semalam.

“Saya benar-benar berharap mereka melakukan sesuatu tentang ini. Saya meragui tentang bagaimana mereka menjalankan penyiasatan ini,” Caroline Owen, wanita Britain yang anjingnya Daisy adalah antara yang menjadi mangsa, memberitahu AFP.

Sementara para pendakwa berkata mereka telah menerima aduan tentang 11 kematian, Citizen Front for Animal Rights berkata 18 ekor anjing telah dibunuh.

Bedah siasat mendapati anjing-anjing itu diracun dengan zink fluorida yang lazimnya digunakan dalam racun tikus, menurut pendakwa itu.

Seorang veterinar memberitahu AFP awal bulan ini bahawa anjing-anjing itu mengalami simptom sama 20 minit selepas berjalan-jalan di taman atau jalan raya berhampiran, mereka mula muntah, mengalami kekejangan dan berhenti bernafas. Di Bandar Mexico Hukuman bagi membunuh haiwan ialah penjara dua hingga empat tahun.