Suspek pembunuhan di Hong Kong kembali ke AS

Suspek pembunuhan di Hong Kong kembali ke AS

HONG KONG, 25 Jan – Seorang warga China yang diberkas di Hong Kong kerana disyaki membunuh dua orang anak saudara lelakinya di AS hari ini bersetuju diserahkan balik, tetapi mendakwa timbul ‘masalah’ dengan tuduhan.

Shi Deyun, 44 tahun ditahan polis di lapangan terbang Hong Kong Sabtu lalu selepas menaiki penerbangan terus dari Los Angeles.

Polis bergegas-gegas untuk memberkas Shi selepas dimaklumkan oleh rakan sejawatan mereka dari AS apabila dia telah pun menaiki penerbangan, detektif Inspektor Kanan Jonathan Close memberitahu para pemberita.

“Kami tidak mempunyai masa yang banyak – kami bertindak cepat dan menangkapnya, sangat-sangat bernasib baik,” kata Close. Selepas pemeriksaan perubatan Shi secara rasmi ditangkap semalam.

Dia dituduh membunuh anak-anak saudara lelakinya yang berusia 15 dan 16 tahun selepas isterinya memfailkan penceraian, menurut Los Angeles Times.

Mayat dua orang remaja lelaki itu ditemui oleh ibu mereka di rumah mereka, lapor akhbar berkenaan.

Shi, yang wajahnya memperlihatkan kesan calar apabila dia muncul di mahkamah daerah Hong Kong hari ini, bersetuju diserahkan balik ke AS dan berkata dia mahu kembali ‘secepat mungkin’.

Media tempatan melaporkan dia hendak pergi ke tanah besar China, yang tidak seperti Hong Kong tidak mempunyai perjanjian penyerahan balik, dengan AS.

Shi berkata dia tidak melarikan diri tetapi transit melalui Hong Kong untuk berurusan perniagaan di bandar selatan China, Shenzhen. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA