Suspek pengganas diberkas di Boston

Suspek pengganas diberkas di Boston

NEW YORK, 4 Jun (AFP) – Seorang lelaki diberkas di Boston berkaitan dengan dakwaan komplot pengganasan, sehari selepas seorang suspek bersenjata pisau ditembak mati, menurut pegawai-pegawai dan laporan media semalam.

Pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat mengenal pasti suspek yang kini dalam tahanan sebagai David Wright dan berkata beliau akan menghadiri perbicaraan di mahkamah persekutuan pada hari ini.

Wright diberkas semalaman selepas anggota polis dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menembak mati suspek pengganas berusia 26 tahun yang dikatakan bertelagah dengan anggota polis sambil menghunus pisau di luar sebuah farmasi pada Selasa lepas.

Akhbar Boston Globe melaporkan bahawa dua lelaki berkonspirasi untuk membunuh seorang anggota polis, dengan memetik dua pegawai penguatkuasaan undang-undang.

“Saya percaya tujuannya adalah untuk memancung anggota polis tersebut,” akhbar itu memetik pegawai-pegawai sebagai berkata.

Akhbar New York Times berkata Usaama Rahim, yang ditembak mati polis dan FBI pada Selasa, dikatakan merancang untuk memancung kepala anggota polis.

The Times pula berkata insiden penembakan itu adalah “episod tidak dijangka” dalam penyiasatan kes pengganasan yang lebih luas, dengan kaitan pada beberapa orang, dan Rahim dikatakan menjadi radikal akibat pengaruh kuat militan Islam di media sosial.

“Kami percaya beliau adalah satu ancaman,” Pesuruhjaya Polis Boston William Evans memberitahu wartawan semalam. Rahim dikehendaki kerana “maklumat berkaitan pengganas,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA