Suspek penipuan pelaburan China ditahan

Suspek penipuan pelaburan China ditahan

SHANGHAI, 7 April (AFP) – Pihak berkuasa China telah menahan ketua kumpulan syarikat kewangan yang dituduh menipu lebih daripada 100,000 pelabur, tatkala dia berusaha menaiki sebuah kapal terbang persendirian yang didakwa dibayar untuk membawanya ke Eropah untuk majlis perkahwinannya, kata laporan media dan polis.

Xu Qin, digambarkan sebagai ‘pengawal’ syarikat yang dikaitkan dengan Zhongjin, ditahan di lapangan terbang di Shanghai ketika dia berusaha terbang ke Itali untuk majlis perkahwinan bersama eksekutif lain, dengan menaiki pesawat udara yang disewa untuk tujuan tersebut, kata laporan media.

Dia adalah antara lebih daripada 20 pengurus Zhongjin yang ditahan oleh polis dan dituduh menipu pelabur menerusi pemalsuan operasi dan memperbesar-besarkan prestasi perniagaan, menurut satu kenyataan polis yang dikeluarkan semalam.

Kumpulan syarikat Zhongjin, beribu pejabat di pusat komersial Shanghai, mengumpulkan wang daripada pelabur untuk pelbagai dana dan projek, dengan janji pulangan yang tinggi.

Polis tidak memberikan anggaran saiz kes berkenaan, tetapi laporan berkata ia membabitkan lebih daripada 130,000 pelabur dengan firma mengumpul sekurang-kurangnya 34 bilion yuan dalam dana.

Pihak berkuasa berkata Xu mendaftar lebih daripada 50 subsidiari dan mengawal lebih 100 syarikat.

Kes itu merupakan penipuan kewangan terbaru yang timbul tatkala ekonomi China meleset, mencatat pertumbuhan paling rendah dalam satu perempat abad tahun lalu. Dalam skandal terbaru, firma pinjaman Ezubao menipu 900,000 pelabur sebanyak AS$7.6 bilion dengan menawarkan kadar faedah tinggi yang gagal dibayarnya, dalam apa yang digambarkan oleh seorang eksekutif dalam pengakuan yang disiarkan dalam televisyen sebagai ‘skim Ponzi’.

ARTIKEL YANG SAMA