Suspek rogol diikat jamin

Suspek rogol diikat jamin

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160822_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Seorang lelaki tempatan yang berdepan dakwaan merogol ibu mertuanya pada 7 Ogos dilepaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Dato Paduka Hairol Arni bin Haji Abdul Majid membenarkan lelaki berusia 54 tahun, yang namanya tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa dibenarkan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.

Lelaki itu menghadapi pertuduhan merogol mangsa berusia 64 tahun di sebuah flat kerajaan di Daerah Temburong kira-kira jam 9 malam pada 7 Ogos.Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu di Mahkamah Majistret, Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Zuraidah binti Haji Sidek memohon tempoh dua minggu penangguhan sementara menunggu laporan perubatan mangsa, dan turut memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang bantahan untuk ikat jamin diberikan kepada tertuduh.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 3 September untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh membuat permohonan ikat jamin di Mahkamah Tinggi.