Suspek rompakan diburu polis

Suspek rompakan diburu polis

PARIS, 14 Julai (AFP) – Polis Perancis hari ini memburu tiga orang lelaki bersenjata yang melarikan diri selepas menjadikan 18 orang individu sebagai tebusan dalam satu cubaan merompak di kedai pakaian Primark di Pusat Beli Belah Qwartz di Villeneuve-la-Garenne, di sini.

Jelas pasukan keselamatan itu, kumpulan perompak berkenaan pada mulanya menyerbu masuk kedai pakaian tersebut, sebelum menjadikan mangsa yang berada di dalam kedai sebagai tebusan.

Polis memberitahu, seorang daripada suspek dipercayai pekerja kedai terbabit.

“Pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan, sekurang-kurangnya tiga orang penjenayah bersenjata menyerbu masuk kedai Primark dalam cubaan untuk merompak.

“Tebusan bagaimanapun berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan,” kata satu sumber polis yang enggan dikenali.

Satu sumber polis lain berkata, seorang pekerja di kedai itu sempat memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kepada teman lelakinya pada pukul 7 pagi waktu tempatan melalui khidmat pesanan ringkas dengan menyatakan bahawa mereka telah dijadikan tebusan oleh lelaki bersenjata.

Pasukan polis bertindak menghentikan laluan trafik di sekitar Pusat Beli Belah Qwartz dan semua kedai lain di kawasan itu telah ditutup.

ARTIKEL YANG SAMA