Suspek serangan dikenal pasti

Suspek serangan dikenal pasti

BRUSSELS, 23 Mac (Reuters) – Polis Belgium telah mengenal pasti suspek utama dalam letupan kelmarin dan dua suspek pengebom berani mati, yang mengaitkan mereka secara langsung kepada militan Islamic State (IS) dalam serangan di Paris November lalu, lapor media Belgium hari ini.

Najim Laachraoui, 25, dipercayai lelaki yang dilihat dalam CCTV menyorong troli bagasi di samping pengebom dan kemudian berlari keluar dari terminal lapangan terbang Brussels.

Pada awalnya, beberapa media melaporkan yang dia telah ditangkap di kawasan Anderlecht, Brussels, namun mereka kemudiannya mengatakan orang yang ditahan itu bukan Laachraoui.

Polis dan pendakwa enggan memberi komen namun pendakwa persekutuan dijangka akan mengadakan persidangan berita pada jam 1200 GMT.

Jumlah kematian dalam serangan di bandar Belgium, rumah kepada Kesatuan Eropah (EU) dan NATO, meningkat kepada 31 orang dengan kira-kira 260 cedera, kata Menteri Kesihatan Maggie De Block dalam televisyen VRT.

Lelaki yang dinamakan Interpol sebagai Khalid El Bakraoui yang disyaki terlibat dalam serangan di Brussels. – Reuters
Lelaki yang dinamakan Interpol sebagai Khalid El Bakraoui yang disyaki terlibat dalam serangan di Brussels. – Reuters
Lelaki yang polis namakan sebagai Najim Laachraoui, suspek yang disyaki terlibat dalam serangan lapangan terbang Brussels. – Reuters
Lelaki yang polis namakan sebagai Najim Laachraoui, suspek yang disyaki terlibat dalam serangan lapangan terbang Brussels. – Reuters

Ia boleh meningkat selanjutnya kerana beberapa mangsa-mangsa pengeboman di stesen metro Maelbeek sukar dikenal pasti disebabkan mayat mereka yang hancur berkecai.

Salah seorang suspek yang dilihat dalam CCTV menolak troli bagasi di lapangan terbang Brussels sejurus sebelum letupan itu dikenal pasti sebagai Brahim El Bakraoui, lapor penyiaran awam RTBF. Ia mengatakan abangnya, Khalid, meletupkan dirinya di stesen kereta api metro.

Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah bagi perompakan bersenjata namun sebelumnya para penyiasat tidak mengaitkannya dengan militan IS.

Laachraoui adalah orang yang dikehendaki dalam kaitannya dengan serangan di Paris. DNAnya ditemui pada dua bahan letupan yang digunakan dalam serangan dan di tempat persembunyian di Brussels yang digunakan minggu lepas oleh suspek utama Paris, Salah Abdeslam, yang ditangkap Jumaat lepas selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis.

RTBF mengatakan Khalid El Bakraoui telah menyewa apartmen di kawasan bandar Forest atas nama palsu, di mana polis memburu Abdeslam dalam serbuan minggu lepas. Dia juga dipercayai telah menyewa sebuah rumah di bandar Charleroi selatan Belgium yang digunakan untuk melancarkan serangan Paris pada November lalu.