Suspek tidak beri kerjasama

Suspek tidak beri kerjasama

BANGKOK, 30 Ogos (AFP) – Ketua tentera Thailand hari ini memberitahu AFP lelaki yang diberkas dalam kaitan letupan bom maut di Bangkok pada minggu lalu tidak memberi kerjasama ketika polis mengumumkan dia adalah sebahagian daripada kumpulan jenayah penyeludupan manusia.

Warga asing yang tidak didedahkan namanya itu, yang diletakkan dalam tahanan tentera di lokasi yang tidak rahsiakan, diberkas ketika serbuan pagi kelmarin di sebuah rumah pangsa di pinggir timur Bangkok.

Para penyiasat berkata dia ditemui bersama peralatan membuat bom dan pelbagai pasport.

“Soal siasat tidak ada perkembangan kerana tersangka tidak benar-benar memberi maklumat berguna,” ketua tentera Thailand, Jeneral Udomdej Sitabute memberitahu AFP.

“Kami perlu melakukan soal siasat selanjutnya dan membuatkannya dia lebih memahami supaya dia akan lebih bekerjasama, sementara kami mesti berhati-hati tidak mencabuli hak tersangka,” tambahnya.

Sejumlah pasport palsu yang dijumpai ketika suspek diberkas di tempat tinggalnya. - Reuters
Sejumlah pasport palsu yang dijumpai ketika suspek diberkas di tempat tinggalnya. – Reuters

Letupan yang berlaku di kuil Erawan di daerah membeli belah Bangkok yang sibuk pada 17 Ogos lalu merupakan serangan tunggal yang mengakibatkan kematian dan kecederaan beramai-ramai paling teruk di Thailand, yang mengorbankan 20 orang, kebanyakan mereka pelancong etnik Cina dari seluruh Asia.

Pihak polis dan junta ingin memandang tidak serius sebarang pendapat bahawa serangan itu dilancarkan oleh pengganas-pengganas antarabangsa atau khusus mensasarkan pelancong Cina.

Jurucakap polis negara, Prawut Thavornsiri berkata hari ini tersangka itu adalah sebahagian daripada kumpulan penyeludupan manusia yang membantu pendatang haram mendapat dokumen palsu, dan serangan bom itu adalah dalam tindak balas kepada tindakan baru-baru ini oleh pihak berkuasa Thailand.

“Kumpulan penjenayah penyeludupan manusia itu tidak berpuas hati dengan tindakan polis memberkas orang yang masuk secara haram,” dia memberitahu Channel 3 dalam temu bual melalui telefon.

“Lebih 200 pasport palsu ada pada tersangka itu apabila dia diberkas. Itu adalah rangkaian yang memalsukan kewarganegaraan dan menghantar penghijrah haram ke negara ketiga,” tambahnya, tanpa mengulas lebih lanjut bagaimana dia menerima maklumat itu.

ARTIKEL YANG SAMA