Suspek utama ...

Suspek utama kes bunuh pembantu pengurus projek ditangkap di Miri

MIRI, 19 April – Suspek utama kes pembunuhan seorang pembantu pengurus projek berusia 45 tahun di Bekenu, Sabtu lepas, ditangkap petang semalam.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, suspek seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 27 tahun itu ditangkap pada kira-kira 5:15 petang di tepi jalan Kampung Skrat KM124 Jalan Pesisir Miri-Bintulu.

“Susulan tangkapan itu, pada hari yang sama pukul 10 malam polis merampas sebilah badik berserta sarung di sebuah rumah kebun kelapa sawit di kawasan Batu Niah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khoo berkata, polis akan membuat permohonan perintah reman terhadap suspek pada hari ini untuk proses soal-siasat.

Mangsa yang dibunuh dikenali sebagai Yusuf Sidani berasal dari Sabah dan dibunuh di hadapan sebuah kedai snuker di Kampung Kayu Kapur, Bekenu pukul 8 malam Sabtu lepas manakala dua lagi lelaki warganegara Indonesia turut cedera akibat serangan menggunakan senjata tajam. – Bernama