Susu ‘syaitan’ penawar ‘superbug’

Susu ‘syaitan’ penawar ‘superbug’

SYDNEY, 18 Okt – Susu ibu marsupial yang dikenali sebagai ‘Syaitan’ Tasmania boleh membantu usaha global memerangi ‘superbug’ maut kalis antibiotik, penyelidik Australia berkata, hari ini.

Superbug merupakan bakteria yang tidak boleh dirawat dengan antibiotik semasa dan ubat-ubatan lain, dengan satu kajian British baru-baru ini mengatakan superbug boleh membunuh sehingga 10 juta orang di seluruh dunia pada 2050.

Ahli sains di Universiti Sydney mendapati peptida dalam susu ‘Syaitan’ Tasmana membunuh bakteria kalis antibiotik termasuk bakteria staph emas kalis metisilin dan enterokokus kalis antibiotik vankomisin yang kuat.

Para penyelidik beralih kepada marsupial seperti ‘syaitan’ yang membawa anaknya di dalam kantung selepas kelahiran untuk melengkapkan tumbesaran atas sebab-sebab biologi.

Anak haiwan muda itu mempunyai sistem imun yang tidak matang apabila dilahirkan, namun mampu hidup dan membesar di dalam kantung ibu mereka yang dipenuhi bakteria.

Gambar fail yang diambil pada 27 April 2012 ini menunjukkan ‘Syaitan’ Tasmania berusia 14 bulan di kawasan Devil Ark di Barringtop Tops, New South Wales, Australia. – AFP
Gambar fail yang diambil pada 27 April 2012 ini menunjukkan ‘Syaitan’ Tasmania berusia 14 bulan di kawasan Devil Ark di Barringtop Tops, New South Wales, Australia. – AFP

“Kami rasa ini telah membawa kepada pengembangan peptida dalam marsupial ini,” calon PhD Universiti Sydney Emma Peel dengan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Scientific Reports memberitahu AFP.

“Marsupial ini mempunyai lebih banyak peptida berbanding mamalia lain. Kami menemui enam, sedangkan pada manusia hanya ada satu jenis peptida ini.

“Kajian lain pada marsupial lain menunjukkan walabi tammar mempunyai lapan peptida dan opossums pula ada 12,” kata Peel sambil menambah kajian ke atas susu koala telah bermula.

Para saintis membuat antimikrobial peptida tiruan yang dipanggil katelisidin selepas mengekstrak urutan genom ‘syaitan’ Tasmania dan mendapati ia membunuh bakteria degil dan bakteria lain.

Peptida marsupial ini diharap dapat digunakan oleh manusia untuk membangunkan antibiotik baru bagi menentang superbug.

“Salah satu perkara paling sukar di dunia hari ini adalah mencuba dan mencari antibiotik baru untuk bakteria kalis dadah,” pengurus penyelidikan Australasian Wildlife Genomics Group dari Universiti Sydney Carolyn Hogg memberitahu AFP.

“Kebanyakan antibiotik sebelum ini datang daripada tumbuh-tumbuhan, acuan atau kerja-kerja lain yang telah wujud hampir 100 tahun. Jadi ini adalah masa untuk mula mencari antibiotik di tempat lain.”

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Margaret Chan memberi amaran bulan lalu beberapa saintis telah menggambarkan kesan superbug sebagai ‘gerak perlahan tsunami’ dan keadaan amat ‘buruk dan semakin buruk’. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA