Suu Kyi batalkan perjalanan ke perhimpunan PBB

YANGON, 13 Sept – Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi tidak akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir bulan ini, kata jurucakapnya hari ini, tatkala pemenang hadiah Nobel keamanan itu menghadapi kritikan berhubung kegagalannya untuk mempertahankan penduduk Islam Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine dalam jumlah besar.

Satu tindakan keras oleh tentera Myanmar, dilancarkan sebagai respons kepada serangan militan Rohingya pada 25 Ogos, telah menyebabkan kira-kira 370,000 pelarian Rohingya bergegas menyeberangi sempadan ke Bangladesh dalam kurang dari tiga minggu.

Keganasan telah mencetuskan krisis kemanusiaan di kedua-dua belah sempadan.

Bangladesh bergelut untuk menyediakan bantuan kepada pelarian yang keletihan dan lapar, kira-kira 60 peratus di antaranya kanak-kanak, sementara hampir 30,000 penduduk etnik Rakhine yang beragama Buddha serta Hindu telah kehilangan tempat tinggal di Myanmar.

Ketua hak asasi manusia PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein, menuduh Myanmar melancarkan “serangan sistematik” ke atas penduduk minoriti Islam Rohingya dan mengingatkan “penghapusan kaum” nampaknya sedang dilancarkan.

Masyarakat dunia membuat tunjuk perasaan bagi membantah tindakan kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya. – AFP

Suu Kyi, pemimpin awam pertama Myanmar dalam beberapa dekad, tidak mengawal tindakan tentera berpengaruh, yang memerintah negara selama 50 tahun sebelum membenarkan pilihan raya bebas pada 2015.

Juga timbulnya simpati di kalangan penduduk majoriti yang beragama Buddha di Myanmar terhadap Rohingya, kumpulan Islam tanpa negara yang dicap “Benggali” nama ringkas untuk penghijrah haram.

Namun di luar negaranya, reputasi Suu Kyi sebagai pembela hak sudah hancur disebabkan krisis Rohingya.

Kumpulan hak telah mengecam bekas aktivis demokrasi kerana gagal mengutuk kempen tentera, yang telah membunuh beratus orang.

Pelarian Rohingya telah memberitahu kisah seram mengenai tentera yang menembak orang awam dan membakar seluruh kampung di utara negeri Rakhine dengan bantuan perusuh beragama Buddha.

Tentera menafikan dakwaan tersebut, sementara Suu Kyi juga tidak menyokong dakwaan kekejaman sebaliknya menyalahkan “maklumat salah” yang merumitkan konflik. – AFP