Suu Kyi dicalonkan untuk sertai kabinet

Suu Kyi dicalonkan untuk sertai kabinet

NAYPYITAW/YANGON, 22 Mac – Presiden Myanmar yang baru dilantik mencalonkan Aung San Suu Kyi untuk menyertai kabinet akan datang hari ini, dengan memberikan ketua parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) itu peranan rasmi dalam kerajaan yang mana perlembagaan menegahnya dari memimpin.

Suu Kyi memimpin NLD menuju kemenangan besar-besaran bersejarah pada November lalu, tetapi tidak boleh menjawat jawatan presiden di bawah piagam yang didraf oleh bekas junta kerana dua orang anak lelakinya adalah warga Britain, seperti mendiang suaminya.

Suu Kyi berikrar akan memintas tegahan itu dengan mentadbir negara menerusi presiden wakil dan minggu lalu parlimen mencalonkan penasihat Suu Kyi, Htin Kyaw, bagi jawatan tertinggi itu.

Sehingga pencalonan kabinet dibacakan kepada parlimen oleh speaker hari ini, tidak jelas sama ada Suu Kyi akan menyertai eksekutif atau akan memimpin kerajaan dari luar sebagai ketua parti memerintah. Perlembagaan juga menegah menteri-menteri yang berkhidmat dari kegiatan parti politik atau menganggotai parlimen sebagai ahli undangan.

“Tidak kira berapa orang menteri yang beliau ambil, kerana beliau akan menerajui seluruh kerajaan juga,” kata Win Htein, ahli politik kanan NLD yang rapat dengan Suu Kyi. Senarai kabinet 18 anggota yang dikemukakan oleh presiden yang baru dilantik Htin Kyaw kepada parlimen tidak menyatakan portfolio yang akan dipegang oleh setiap menteri.

Gambar fail bertarikh 15 Mac 2016 menunjukkan Aung San Suu Kyi (kiri) dan Win Myint (kanan), speaker Dewan Rakyat dari Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), meninggalkan Parlimen di Naypyidaw. – AFP
Gambar fail bertarikh 15 Mac 2016 menunjukkan Aung San Suu Kyi (kiri) dan Win Myint (kanan), speaker Dewan Rakyat dari Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), meninggalkan Parlimen di Naypyidaw. – AFP

Tetapi senarai berasingan diperolehi oleh Reuters dari sumber-sumber dalam parlimen menunjukkan nama Suu Kyi, penerima anugerah Nobel itu bersebelahan empat orang menteri pejabat presiden, hal ehwal asing, tenaga elektrik dan tenaga, dan pendidikan. – Reuters