Suu Kyi lakar landskap baharu politik Myanmar

Suu Kyi lakar landskap baharu politik Myanmar

NAYPYIDAW, Myanmar, 1 Feb – Aung San Suu Kyi mengetuai partinya apabila sesi baharu Parlimen Myanmar bermula hari ini dengan harapan tinggi bahawa kerajaannya berupaya mengubah landskap politik yang diperintah tentera lebih setengah abad.

Beratus-ratus Ahli Parlimen baharu tiba di Parlimen Naypyidaw pagi ini untuk mengambil tempat selepas memenangi pilihan raya bersejarah pada November lalu.

Pilihan raya berkenaan menyaksikan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) meraih majoriti mengatasi pihak tentera dan mencetuskan harapan kepada era baharu politik dalam negara yang ditindas sekian lama.

“Kita akan berusaha untuk mendapatkan hak asasi manusia dan demokrasi akan dijulang dan begitu juga keamanan,” kata Ahli Parlimen NLD, Nyein Thit.

Bagaimanapun, kebanyakan Ahli Parlimen NLD masih mentah dalam Parlimen yang 25 peratus kerusi masih dikuasai tentera.

Aung San Suu Kyi tiba untuk pembukaan Parlimen baru di Naypyidaw. – Reuters
Aung San Suu Kyi tiba untuk pembukaan Parlimen baru di Naypyidaw. – Reuters

Kerajaan baharu yang kurang pengalaman berdepan cabaran getir untuk membangunkan semula negara di mana aspek ekonominya dilumpuhkan oleh pemerintahan junta.

“Ini adalah detik bersejarah untuk negara ini,” kata penganalisis politik Myanmar, Khin Zaw Win ketika ditanya mengenai Parlimen baharu itu dipenuhi wakil NLD yang memenangi hampir 80 peratus kerusi.

“Inilah yang kami sudah usaha untuk melakukannya, usaha untuk mencapainya dan berjuang selama bertahun-tahun tapi apabila saat itu sampai, banyak kebimbangan muncul sebagai sebahagian daripada pakej,” katanya.

Suu Kyi dilarang menjadi presiden berdasarkan perlembagaan tentera kerana beliau berkahwin dan mempunyai anak dengan suaminya seorang warga asing. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA