Suu Kyi mungkin tidak pegang jawatan k’jaan

Suu Kyi mungkin tidak pegang jawatan k’jaan

NAYPYITAW, 21 Mac (Reuters) – Parlimen Myanmar minggu lalu melantik rakan rapat pemenang hadiah Nobel keamanan itu, Htin Kyaw, sebagai presiden, menjadikan beliau sebagai ketua negara pertama bukan daripada latar belakang tentera sejak 1960-an.

Manakala tokoh demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, akan mengemudikan kerajaan yang akan dibentuk parti pimpinannya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), kekal sebagai ketua dan berkemungkinan tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Suu Kyi mengetuai NLD mencatatkan kemenangan bersejarah pada pilihan raya November lalu, tetapi Perlembagaan yang dirangka bekas junta menghalang beliau menjadi presiden kerana dua anak dan mendiang suaminya tidak memiliki kerakyatan Myanmar.

Parti itu tidak menjelaskan bagaimana pengurusan akan dilakukan, menyemarakkan spekulasi mengenai kemungkinan jawatan dipegang Suu Kyi selepas kerajaan mengambil alih pemerintahan pada 1 April ini.

“Memegang jawatan tidak penting lagi. Di Amerika Syarikat, ramai ahli perundangan terkenal yang amat berpengaruh berada dalam Parlimen, tetapi mereka tiada jawatan dalam Kabinet.

“Perkara sama berlaku di sini. Suu Kyi akan mengetuai parti pemerintah, beliau akan mengetuai kerajaan yang dibentuk parti,” kata jurucakap NLD, Zaw Myint Maung dalam kenyataan paling lengkap mengenai isu itu yang dikeluarkan tokoh kanan parti setakat ini.

Suu Kyi berikrar menentang Perlembagaan yang digambarkan tokoh kanan NLD sebagai ‘mengarut’, berjanji negara itu ditadbir oleh ‘tokoh yang lebih berkuasa daripada presiden.’

ARTIKEL YANG SAMA