SVSB muncul juara lagu-lagu dakwah

SVSB muncul juara lagu-lagu dakwah

Oleh Anwar Rosly

Gambar ihsan SVSB

SERIA, 21 Okt – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Sekolah Perdagangan dan Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (SVSB) masing-masing memenangi kategori lelaki dan wanita dalam Majlis Pertandingan Lagu-lagu Dakwah Antara IBTE Kampus Senegara kali Ke-5 yang berlangsung pagi tadi di SVSB, di sini.

Pertandingan ini merupakan majlis tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Ugama IBTE SVSB.

Hadir selaku tetamu kehormat ke acara itu ialah Pengarah Urusan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Haji Rosdi Amin bin Dato Paduka Haji Yaakub.

Majlis telah dipengerusikan oleh Pengetua SVSB, Awang Akandi bin Haji Abdul Razak.

Pasukan lelaki Sekolah Perdagangan yang memenangi Kategori Persembahan Terbaik.
Pasukan lelaki Sekolah Perdagangan yang memenangi Kategori Persembahan Terbaik.
Pasukan perempuan SVSB yang muncul juara keseluruhan pertandingan tersebut.
Pasukan perempuan SVSB yang muncul juara keseluruhan pertandingan tersebut.

Terdahulu, Awang Akandi dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa tujuan dan matlamat pertandingan ini diadakan adalah untuk menarik minat serta mendalami lagu-lagu yang berunsur dakwah kepada pelajar-pelajar, meningkatkan rasa cinta kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W melalui penghayatan dan kefahaman kepada lagu-lagu yang disampaikan.

Beliau juga menaruh harapan agar pertandingan ini akan dapat mengeratkan lagi tali silaturahim antara kampus IBTE bagi menjalin semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga kampus IBTE dan mencungkil bakat dalam meningkatkan mutu pertandingan lagu-lagu dakwah khasnya dalam kalangan pelajar kampus IBTE.

Dalam pertandingan ini, sebanyak 14 buah pasukan bertanding dalam dua kategori di mana tujuh buah pasukan adalah dalam kategori lelaki manakala tujuh lagi pasukan yang lain dalam kategori wanita.

Pemenang bagi kategori solo lelaki jatuh kepada SVSB dan pemenang kategori solo wanita jatuh kepada Sekolah Perdagangan.

Manakala, Kategori Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh pasukan lelaki Sekolah Perdagangan dan juara keseluruhan disandang oleh pasukan perempuan SVSB.

ARTIKEL YANG SAMA