SVSB tarik perhatian pengunjung

SVSB tarik perhatian pengunjung

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 10 Mac – Daya kreativiti menjadi tumpuan utama sebahagian pelajar-pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (SVSB) dalam menarik perhatian pengunjung untuk melawat ke pondok-pondok perniagaan mereka semasa Karnival Keusahawanan ke-5 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di Seria.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Karnival, Dayang Juradyani binti Haji Akup berkata, kelainan yang dibawa oleh peserta-peserta karnival di sini menunjukkan bakat kreativiti mereka dalam menarik pelanggan-pelanggan untuk melawat pondok-pondok mereka, di mana jenis-jenis perniagaan di sini didominasi oleh penjual-penjual barangan aksesori dan makanan.

Antara pondok jualan yang menjadi perhatian ramai adalah pondok ‘Photo Booth’, ‘Escape Room’, ‘Tricycle’ dan permainan ATV.

Ada juga antara peserta-peserta yang menjual produk tempatan lain yang dibekalkan oleh pembekal tempatan dan ada juga yang menggabungkan pondok mereka untuk menjual produk daripada pembekal bersama produk hasil pelajar-pelajar sendiri.

Pelajar-pelajar bergambar di salah sebuah pondok yang menyediakan perkhidmatan Photo Booth.
Pelajar-pelajar bergambar di salah sebuah pondok yang menyediakan perkhidmatan Photo Booth.

“Kami berikan mereka panduan tentang pelbagai perniagaan yang boleh mereka ceburi dan diberi kebebasan untuk memilih atau membuat produk yang ingin dijual, dan mereka akan melaksanakan tugas-tugas mereka dalam mencari barang-barang bagi membuat produk mereka sendiri atau bekerjasama dengan pembekal produk tempatan bagi menjual barang mereka bagi pihak pembekal,” ujarnya semasa ditemui selepas pelancaran karnival tersebut.

Acara tersebut, katanya lagi, mendatangkan manfaat kepada peserta dan pembekal produk tempatan, di mana peserta menimba pengalaman dalam mempelajari produk tempatan, cara penjualan dan bagaimana mereka mengiklankan atau memasarkannya kepada orang ramai, mendapat keuntungan bersama dengan para pembekal.

Dari sini, ia juga membantu produk-produk para pembekal tempatan mendapat pendedahan dan perhatian orang ramai.

“Dari sini pelajar-pelajar mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari mengenai perniagaan serta mengadakan acara sebegini di dalam kelas ke arah suasana yang praktikal seperti dalam acara keusahawanan ini,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, walaupun para peserta dari kampus-kampus yang terlibat seperti SVSB, Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah serta Institut Kemuda mendapat saingan daripada penyertaan gerai-gerai individu serta perusahaan sederhana dan kecil, persaingan yang sihat di antara mereka akan memberi banyak kepelbagaian daripada segi penjualan jenis makanan serta produk-produk yang ada.

ARTIKEL YANG SAMA