S’wak catat RM125.76 bilion nilai dagangan

S’wak catat RM125.76 bilion nilai dagangan

KUCHING, 12 April (Bernama) – Sarawak mencatatkan nilai dagangan berjumlah RM125.76 bilion pada 2015 dengan eksport dan import, masing-masing sebanyak RM90.26 bilion dan RM35.50 bilion.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata jumlah dagangan itu menyusut 24 peratus berbanding RM156.84 bilion yang direkodkan dalam tahun 2014 berikutan penurunan harga minyak dan komoditi antarabangsa, yang merupakan sektor utama eksport Sarawak.

“Lima komoditi eksport utama Sarawak ialah gas asli cecair (RM47.07 bilion); petroleum mentah dan keluaran petroleum (14.29 bilion); minyak kelapa sawit dan minyak isirung kelapa sawit (RM8.11 bilion); balak gergaji, kayu gergaji, papan lapis biasa, veneer dan papan MDF (RM6.61 bilion) dan barangan daripada petroleum (RM653 juta),” katanya di majlis Perasmian Program “Sarawak Exporters’ Day” anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) 2016, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Kemudahan Awam dan Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Tan Sri Adenan Satem ketika menjawab pertanyaan media mengenai pengumuman para calon untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke -11 di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. – Bernama
Tan Sri Adenan Satem ketika menjawab pertanyaan media mengenai pengumuman para calon untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke -11 di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. – Bernama

“Destinasi utama eksport Sarawak ialah Jepun RM33.83 bilion, diikuti Korea (RM9.66 bilion), China (RM7.44 bilion), Taiwan (RM6.26 bilion) dan India (RM4.70 bilion),” katanya.

Selain itu katanya, pada 2015 dan 2014 Sarawak berjaya mengekalkan kedudukan kedua teratas di Malaysia bagi jumlah pelaburan iaitu sebanyak RM11.81 bilion pada 2015 selepas Johor (RM31.1 bilion) dan pada 2014 pula RM9.64 bilion, juga di bawah Johor (RM21.1 bilion).

Adnan berkata sehubungan itu Sarawak perlu mempelbagai hasil eksportnya dengan mengeluarkan produk-produk inovasi bernilai tambah yang tinggi serta meningkatkan eksport di sektor perkhidmatan.

“Syarikat-syarikat Sarawak juga dinasihatkan supaya aktif dalam meneroka pasaran-pasaran baharu ‘the new emerging markets’,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA