S’wak hormati keputusan PM tidak lantik menteri penuh dari S’wak

S’wak hormati keputusan PM tidak lantik menteri penuh dari S’wak

KUCHING, 28 Jun (Bernama) – Barisan Nasional (BN) dan Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB) menghormati keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak melantik anggota Parlimen dari Sarawak sebagai menteri penuh dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet semalam.

Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom, yang juga Setiausaha Agung PBB berkata komponen BN ada membentangkan kes mereka, iaitu mencadangkan Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Linggi mewakili parti itu dan mengisi slot yang dikosongkan Datuk Amar Douglas Uggah.

“Tetapi Sarawak mengakui pelantikan menteri adalah prerogatif perdana menteri. Beliau telah menjelaskan rasional rombakan kabinetnya dan kami menghormati keputusan beliau dan berdiri teguh di belakang kepimpinannya.

“Adalah menjadi harapan besar kami, beliau akan memasukkan kami dalam rombakan besar beliau pada masa akan datang dan mengucapkan terima kasih kerana melantik Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN Sarawak Abdullah Saidol mengucapkan tahniah kepada Henry atas pelantikan beliau.

Henry, Anggota Parlimen Lawas mencipta sejarah untuk masyarakat Lun Bawang apabila beliau menjadi pemimpin pertama dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet persekutuan.